Berita

Azizulhasni Tewaskan Juara Dunia, Raih Emas Keirin di Velodrom Nasional

Ikon lumba basikal Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang, mencipta kemenangan menakjubkan di Piala Dunia Trek UCI selepas menewaskan juara dunia Harrie Lavreysen dalam final acara keirin di Velodrom Nasional Malaysia.

Atlet berusia 38 tahun itu meraih pingat emas keduanya dalam siri keirin musim ini, selepas sebelum ini menjuarai pusingan Perth di Australia.

Lavreysen terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Nicholas Paul melengkapkan podium di tempat ketiga.

Menurut laporan Kosmo!, Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu mengakui bahawa beraksi di hadapan penyokong sendiri bukanlah sesuatu yang mudah.

“Secara jujurnya, berlumba di tempat sendiri bukan mudah kerana tekanan dan jangkaan. Tetapi Alhamdulillah, dengan hampir 20 tahun pengalaman di peringkat tertinggi, saya gunakan ia untuk kekal fokus,” katanya.

Beliau mengambil pendekatan langkah demi langkah sejak sesi pagi, dan menganggap final sebagai momen istimewa dengan kehadiran keluarga.

“Bagi saya, malam ini sangat istimewa, berlumba di tanah air di hadapan keluarga, isteri dan anak-anak. Ibu saya juga ada di sini,” katanya lagi.

Dalam perlumbaan akhir, beliau menggunakan strategi ‘sabar’ dengan menunggu peluang terbaik sebelum melakukan serangan.

Peluang itu muncul di selekoh terakhir apabila beliau melihat ruang sempit dan melakukan pecutan berani yang mengejutkan pencabar lain.

Strategi tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya memintas pelumba di hadapan pada masa yang tepat, sekali gus meraih kemenangan dramatik.

“Saya nampak ruang itu pada masa yang tepat dan gunakan pengalaman untuk masuk sebelum memecut sekuat hati hingga ke garisan penamat.

“Malah saya sendiri sukar mempercayainya, tetapi dengan sokongan penonton dan keyakinan, saya buktikan kita mampu capai sesuatu yang di luar jangkaan,” kongsinya.

Walaupun mencatat kemenangan besar, Azizulhasni tidak mahu cepat berpuas hati. Beliau masih mempunyai acara pecut individu yang akan datang, di mana sebelum ini beliau meraih pingat gangsa di Perth.

Namun begitu, proses pemulihan daripada pembedahan jantung terbuka yang baru dilaluinya menjadi kebimbangan utama.

“Saya tidak pasti keadaan saya esok. Ia bergantung sama ada saya dapat tidur yang cukup malam ini.

“Sejujurnya, sebelum acara pecut di Perth pun saya sukar tidur. Selepas ini, saya masih perlu melalui ujian doping dan urusan lain, jadi mungkin saya hanya akan pulang lewat,” tutupnya.

Related Articles

Back to top button