Berita

Berlaku Gangguan Teknikal Siaran Langsung Piala Dunia 2026, RTM Mohon Maaf

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil memohon maaf kepada peminat bola sepak tempatan susulan gangguan teknikal yang menjejaskan siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi platform RTMKlik awal pagi Khamis.

Insiden tersebut berlaku ketika perlawanan membabitkan Perancis dan Senegal yang disiarkan secara langsung pada pukul 3 pagi, sekali gus menyebabkan sebahagian penonton berdepan masalah untuk mengikuti aksi berkenaan menerusi platform digital itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, RTM memaklumkan gangguan berkenaan berpunca daripada masalah teknikal yang tidak dijangka sehingga menjejaskan kelancaran akses pengguna.

“Pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan segera bagi memulihkan perkhidmatan tersebut dengan kadar segera.

“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut,” menurut kenyataan itu.

RTM berkata, pihaknya mengambil serius perkara berkenaan memandangkan mereka merupakan penyiar rasmi kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu di Malaysia.

Menurut kenyataan sama, usaha penambahbaikan terhadap infrastruktur dan sistem penyiaran digital sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengalaman tontonan yang lebih lancar serta mengurangkan risiko gangguan teknikal pada masa akan datang.

Pihak penyiar itu turut memberi jaminan akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan demi memenuhi harapan jutaan peminat yang mengikuti kejohanan berkenaan.

“RTM sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan termasuk 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda bagi Piala Dunia FIFA 2026,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button