“Penghijrahan Ajar Saya Berlapang Dada Dengan Rezeki Allah”

Pelakon, Datin Lisa Surihani, 40, menepis tanggapan segelintir pihak yang menyangka dirinya sudah meninggalkan dunia lakonan.
Lisa sebaliknya menegaskan dia tidak pernah mengumumkan persaraan atau menutup terus pintu untuk kembali aktif dalam bidang seni.
Menurut aktees itu, kehadirannya yang semakin jarang di kaca televisyen dan layar perak sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan bermakna dia sudah berhenti berlakon, namun banyak bergantung kepada kesesuaian tawaran serta komitmen semasa.
“Sebenarnya, sebelum saya mengerjakan haji lagi, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa saya sudah berhenti atau menamatkan kerjaya sebagai pelakon.
“Ada kalanya sesuatu tawaran itu tidak menjadi atas pelbagai faktor. Kadang-kadang melibatkan masa, jadual atau perkara lain yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Mengulas sama ada dia merindui suasana bekerja di set penggambaran, Lisa mengakui penghijrahan yang dilaluinya sejak 2019 banyak mempengaruhi cara dia melihat soal kerjaya dan rezeki.
Jelasnya, pengalaman tersebut mengajarnya untuk lebih tenang menerima setiap ketentuan serta tidak terlalu mempersoalkan peluang yang datang atau terlepas.
“Mungkin saya sudah berada pada satu fasa yang berbeza dalam hidup. Penghijrahan yang saya lalui juga banyak mengajar saya untuk lebih berlapang dada dengan setiap rezeki yang Allah berikan, sama ada besar atau kecil.
“Saya percaya Allah adalah sebaik-baik perancang. Jadi apabila saya tidak lagi sekerap dahulu berlakon, saya memilih untuk menerima dan percaya dengan apa yang sudah ditentukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Lisa memberitahu dia masih menerima tawaran lakonan sehingga kini, namun tidak semuanya dapat direalisasikan kerana pelbagai kekangan dan pertimbangan tertentu.
Menurutnya, setiap keputusan besar berkaitan kerjayanya juga akan dibincangkan terlebih dahulu bersama insan terdekat termasuk suami dan ibunya.
“Alhamdulillah, tawaran masih ada. Cuma kadang-kadang tidak sempat untuk dilakukan atau ada beberapa faktor lain yang menyebabkan ia tidak menjadi.
“Walaupun jumlahnya tidak sebanyak dahulu, saya masih menerima tawaran dan sentiasa mempertimbangkannya sebaik mungkin,” katanya.



