Misi Mencari Bakat Baharu Bermula
Melihatkan sambutan baik yang diberikan peminat terhadap Konsert Inul Daratista Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember hadapan telah memberikan idea baharu kepada pengajur untuk menyemarakkan lagi acara berkenaan.
Seperti yang diketahui ramai, kekurangan pelapis baharu irama dangdut di Malaysia bukan satu hal yang mengejutkan. Kebanyakan pendatang baharu lebih memilih genre lain yang lebih mudah diterima oleh pendengar.
Bagi Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire, Khairul Isma, mereka menerima maklum balas yang positif daripada peminat tatkala mengumumkan mengadakan Konsert Inul Daratista Live In Malaysia sebelum ini.
“Kita menerima maklum balas yang baik daripada peminat yang tidak sabar untuk bersama dalam konsert itu nanti. Ada yang menyuarakan pandangan mengapa kami tidak mencungkil bakat baharu juga.
“Maklum balas seperti inilah yang memberikan idea kepada kami untuk mengadakan pencarian bakat baharu untuk diketengahkan nanti. Jadi kita sahut cabaran mereka untuk mencari pelapis baharu muzik dangdut,” kata Khairul Isma lagi.
Selain penampilan eksklusif Inul, konsert yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena Pulau Pinang itu bakal diserikan dengan kemunculan Amelina dan Baby Shima.
Jelas Khairul Isma lagi, mereka bakal mengadakan pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025 bagi mencari muka baharu untuk meneruskan kesinambungan sebagai penyanyi dangdut di Malaysia.
Juara pertandingan bukan sahaja membawa pulang hadiah berjumlah RM1,500 tetapi juga berpeluang menjadi artis rakaman!
Mana kala tempat kedua pula bakal membawa pulang RM1,000 dan lima finalis lain menerima RM700 menerusi pertandingan yang bakal diadakan di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.
“Memang sudah tidak ramai penyanyi baharu yang berani merakamkan lagu dangdut sedangkan pasaran untuk irama berkenaan masih ada kelompok peminat yang tersendiri.
“Kita mengalu-alukan penyertaan daripada semua ahli masyarakat yang berani menyahut cabaran untuk menjadi pelapis baharu kepada generasi seterusnya.
“Platform sudah tersedia dan jangan sesekali sia-siakan bakat yang ada. Kepada orang Pulau Pinang dan kawasan sekitar, jangan lupa daftar penyertaan anda sebelum 8 November ini,” kata Khairul Isma lagi.
Mengulas mengenai konsert pula, pihaknya gembira dengan maklum balas yang diberikan oleh peminat yang sudah menyatakan kesediaan untuk bersama-sama Inul, Amelina dan Baby Shima pada 6 Disember hadapan.
Ini sedikit sebanyak menandakan genre berkenaan masih mendapat tempat di hati mereka selain kerinduan sebahagian besar kepada Inul yang hampir dua dekad tidak melakukan persembahan di sini.
“Ini masa untuk kita semua mengubat kerinduan kepada ratu dangdut Indonesia yang sudah lama tidak ke sini. Masih ada masa untuk semua membeli tiket dan bersama mereka nanti.
“Untuk yang berbakat pula, ayuh sertai pertandingan karaoke yang bakal diadakan. Ayuh bersama kami melestarikan industri muzik tanah air,”katanya lagi.
Bagi mereka yang ingin turut serta menyertai Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, ikuti media sosial Suara Space untuk maklumat lanjut.
