‘Saya Sayang Isteri & Anak Sepenuh Hati’ – Kamal Adli
Pelakon, Kamal Adli, 39, tampil menjernihkan spekulasi mengenai rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose yang didakwa sedang bergolak.
Kamal menegaskan hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan penuh kasih sayang, apatah lagi dengan kehadiran puteri kesayangan, Hawra Uqaira.
“Saya terpanggil untuk jelaskan beberapa perkara yang melibatkan maruah saya, isteri dan keluarga kecil kami. Ada yang kata saya tak luang masa dengan anak sendiri, itu tidak benar.
“Saya sentiasa ada untuk Hawra, malah sering meluangkan masa membawanya bercuti dan bermain bersama. Saya seorang ayah dan saya sangat menyayangi anak saya,” kata Kamal dalam satu hantaran di Instagram.
Pada masa sama, aktor itu turut menafikan dakwaan kononnya dia tidak mempunyai sebarang tawaran kerja sejak beberapa bulan lalu.
“Saya sengaja berehat selama dua bulan selepas bekerja tanpa henti. Saya mahu beri tumpuan kepada isteri dan anak.
“Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus, cukup untuk menampung keluarga kecil kami. Bagi saya, kebahagiaan mereka lebih utama,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, Kamal turut menasihati netizen agar tidak meninggalkan komen berbaur provokasi terhadap dirinya mahupun Uqasha kerana bimbang boleh menjejaskan emosi mereka sekeluarga.
“Kalau boleh, hentikan komen negatif. Isteri saya juga manusia, kadang-kadang penat dan tertekan dengan kerja. Doakan yang baik-baik buat kami. Demi Allah, saya sayangkan isteri dan anak saya sepenuh hati,” luahnya.
Pelakon itu menutup kenyataannya dengan permintaan agar masyarakat memberi ruang kepada mereka untuk menikmati kehidupan berkeluarga dengan tenang tanpa tekanan luar.
