Ah Long Perempuan Salah Bakar Rumah Ditahan

Ah Long Perempuan Salah Bakar Rumah Ditahan

Sebuah keluarga di Johor terkejut apabila mendapati rumah mereka dijilat api selepas seorang pemberi pinjaman wang haram (ah long) membakarnya akibat hutang yang tidak dibayar.

Lebih malang, mereka sebenarnya bukanlah sasaran, tetapi menjadi mangsa akibat masalah yang ditinggalkan anak pemilik rumah terdahulu.

Menurut China Press, kejadian berlaku pada Jumaat lalu (5 September) sekitar jam 3 pagi di sebuah rumah teres di Kluang, Johor.

Qiu memberitahu akhbar harian berbahasa Cina itu, dia bersama suami dan anak-anak sedang tidur apabila suaminya terdengar bunyi letupan dipercayai berpunca daripada bom molotov yang dibaling ke dalam kawasan rumah, diikuti bunyi penggera kereta.

“Jiran kami nampak rumah kami terbakar lalu menekan penggera kereta untuk memberi amaran kepada kami, dan itu menyelamatkan kami daripada terperangkap.

“Malangnya, api merebak ke unit lain dan menyebabkan empat rumah teres bersebelahan turut terjejas. Dua kereta kami serta keseluruhan kawasan rumah habis musnah,” katanya.

Penduduk juga menemui nota ugutan di lokasi kejadian.

Menurut laporan Shin Min Daily News, sasaran sebenar ialah anak bekas pemilik rumah tersebut, yang telah berpindah keluar beberapa tahun lalu.

Penghutang itu, yang kini bekerja di Singapura, memberitahu Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi bahawa dia menjadi mangsa ‘scam pinjaman paksa’, di mana dia dipaksa memindahkan RM32,868 ke dalam akaun bank Singapura miliknya oleh ah long.

Selepas pemindahan itu, dia pula dituduh berhutang dengan kumpulan ah long terbabit.
Bagaimanapun, dia berkata akan membuat laporan polis di Singapura dan turut berbuat demikian apabila pulang ke Kluang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata dalam satu kenyataan bahawa pihak polis telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang dipercayai terlibat dalam serangan bakar tersebut.

Polis turut merampas beberapa bom molotov, pakaian yang dipercayai dipakai semasa kejadian, serta dua kereta.

Wanita berkenaan yang tidak mempunyai rekod jenayah direman sehingga 12 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api serta Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Related post

Leave a Reply