Sebelum Nak Poligami, Bincang Baik-Baik

Pelakon Ashraf Muslim, 43, menasihati pasangan yang berhasrat ingin hidup berpoligami supaya melakukan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Ashraf yang kini menjalani kehidupan bersama dua isteri berkata, suami isteri perlu ada sikap toleransi selain memikirkan kesan pada masa akan datang terhadap institusi keluarga.

Jelasnya, keputusan hendaklah dilakukan dengan harmoni kerana perkahwinan bukan perkara enteng.

“Sebelum mahu buat keputusan nak berpoligami, suami isteri perlu duduk berbincang. Bincanglah baik-baik dan perlu ada toleransi sebab nak hidup bersama serta mahu pengakhiran yang baik.

“Apa pun keputusan yang ingin dilakukan, buatlah dengan harmnoni. Jangan perkara baik mula dengan tak baik supaya tiada kekhilafan atau kesan kurang baik selepas itu.

“Faham antara satu sama lain dan dapatkan keredaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi orang sekeliling juga.

“Berkahwin adalah perubahan yang sangat besar, tidak kisah kahwin berapa pun atau bercerai. Fikir kesan dan cari solusi terbaik,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Ashraf bahagia melayari rumah tangga bersama kedua-dua orang isteri.

Berkongsi lanjut, Ashraf turut menasihati pasangan yang ingin hidup berpoligami supaya tidak berkongsi secara terbuka terutama dalam media sosial.

“Hal rumah tangga jangan uar-uarkan kepada masyarakat dan jangan aibkan antara satu sama lain.

“Dalam keluarga, kita perlukan kepercayaan, perkara terbabit susah nak bina. Sekali rosak, susah nak dapatkan balik.

“Elakkan keluar apa-apa kenyataan dalam media sosial isu seperti hal dalam kain atau cerita atas katil. Biarlah cerita rumah tangga membabitkan antara suami isteri sahaja,” ujarnya lagi.

Selain itu, pelakon drama Manjalara ini turut berpesan kepada netizen agar tidak masuk campur hal rumah tangga orang lain kerana risau mendatangkan fitnah.

Sekadar info, Ashraf kini menjalani kehidupan bahagia bersama dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Related post

Leave a Reply