Trending

“Jangan Jadi Bodoh Sombong, Belajarlah”

Pelawak dan pengacara, Zizan Razak, 42, menasihati pengacara baharu supaya tidak terlalu ego atau malu untuk menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman jika mahu membina kerjaya yang panjang dalam industri.

Menurut Zizan, soal pengacara senior atau junior bukan perkara utama kerana kemampuan seseorang dalam bidang pengacaraan tidak semestinya bergantung kepada berapa lama mereka berada dalam industri, sebaliknya pengalaman dan kemahiran yang dimiliki.

“Bagi saya, perkara ini sangat subjektif. Ia bukan tentang junior atau senior, tetapi lebih kepada pengalaman dan kemahiran dalam mengacara. Saya sendiri pun pernah melakukan kesilapan.

“Saya bukan terus pandai dan hari ini pun kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Saya tidak mahu bercakap besar.

“Kalau kita rasa masih baharu, belajarlah. Kalau kita rasa masih mentah, bertanyalah. Jangan buat-buat pandai atau merasakan kita sudah cukup bagus,” katanya.

Zizan turut mengingatkan pengacara berpengalaman supaya tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelapis baharu yang diberi peluang untuk berada dalam satu pentas bersama mereka.

“Kepada pengacara baharu yang mendapat peluang dan rezeki untuk duduk bersama pengacara berpengalaman, belajarlah. Yang senior pula jangan kedekut ilmu. Didik dan beri galakan kepada mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zizan berkata, sikap merendah diri dan keterbukaan menerima teguran amat penting, khususnya bagi individu yang masih dalam proses mengumpul pengalaman.

“Saya cakap secara umum, bukan mengenai pengacara sahaja, tetapi mereka yang mahu masuk ke dalam industri atau mahu belajar. Apabila ada perkara yang kita tidak tahu, kita masih boleh belajar.

“Tetapi apabila seseorang itu sudah sombong, kita susah hendak mengajarnya. Jadi, jangan jadi ‘bodoh sombong’. Buang sikap itu. Tidak ada sebab untuk kita terus tidak tahu dan tidak ada sebab untuk kita sombong.

“Kalau kita sedar masih belum cukup berilmu atau belum cukup pandai, rendahkan diri. Sit down, be humble. Dengar apa yang senior mahu sampaikan dan belajarlah daripada mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zizan tidak melihat kesilapan pengacara baharu sebagai alasan untuk mereka terus dikecam atau dihukum, sebaliknya menganggap ia sebahagian daripada proses pembelajaran.

“Saya tidak boleh terus menghentam pengacara baharu kerana saya sendiri bermula daripada kosong. Saya bukan terus menjadi Zizan Razak yang orang kenal hari ini.

“Kalau orang anggap saya pandai sekarang, saya tidak terus pandai sejak hari pertama. Jadi, berilah mereka peluang. Didik dan latih mereka. Dalam masa sama, mereka sendiri kena belajar dan bertanya kepada orang lain.

“Kalau orang menegur di Threads, tengok semula rakaman. Kalau selepas tengok kita sedar memang melakukan kesilapan, ambil perhatian. Minggu berikutnya, perbaiki dan terus perbaiki,” katanya.

Zizan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu membabitkan seorang pengacara baharu yang menerima kritikan terhadap gaya pengacaraannya ketika mengendalikan sebuah program nyanyian, yang disifatkan tidak setara dengan tenaga hos gandingannya.

Related Articles

Back to top button