Penyanyi Popular Dolly Parton Meninggal Dunia

Pelantun lagu popular Jolene iaitu Dolly Parton, meninggal dunia pada usia 80 tahun di Nashville, Amerika Syarikat, pada Selasa.
Berita pemergian legenda muzik country itu disahkan oleh anak saudaranya, Bryan Seaver menerusi sebuah video bagi pihak keluarga Parton dan Owens.
Pemergian Parton mengakhiri perjalanan seni selama lebih tujuh dekad yang menyaksikannya muncul sebagai antara figura paling berpengaruh dalam dunia muzik, selain mencipta nama sebagai pelakon, penulis lagu, ahli perniagaan dan dermawan.
Menurut keluarga, Parton meninggal dunia dengan tenang di Nashville. Bagaimanapun, punca kematiannya tidak didedahkan kepada umum.
Sebelum ini, Parton berdepan beberapa masalah kesihatan yang menyebabkannya mengurangkan penampilan awam.
Dalam kenyataan beberapa hari sebelum kematiannya, dia mengakui sedang memberi perhatian kepada masalah kesihatan yang sebelum ini terabai ketika menjaga suaminya, Carl Dean, yang meninggal dunia pada Mac 2025.
Parton mula mendapat perhatian luas ketika berusia 21 tahun selepas menyertai rancangan televisyen muzik country kendalian Porter Wagoner, sekali gus membuka laluan kepada kerjaya seni yang panjang dan penuh kejayaan.
Sepanjang hayatnya, Parton bukan sekadar menghasilkan karya muzik, malah menulis lebih 3,000 lagu dan mencipta nama dalam bidang lakonan menerusi beberapa filem popular Hollywood.
Parton juga dikenali sebagai seorang dermawan yang banyak menyumbang kepada masyarakat, termasuk menerusi program literasi kanak-kanak Imagination Library yang telah menyediakan ratusan juta buku percuma kepada kanak-kanak.



