Naib juara Miss Grand Indonesia 2025 meninggal dunia pada hari ulang tahun ke-26

Putri Andriani Juficha, naib juara Miss Grand Indonesia 2025, meninggal dunia pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-26.
Beliau meninggal dunia pada 14 Ogos lalu, iaitu tarikh yang sama dengan hari kelahirannya pada tahun 2000, menurut laporan Kompas dan Detik.
Organisasi Miss Grand Indonesia mengumumkan berita pemergiannya menerusi satu hantaran di Instagram, bersama sekeping fotonya.
Dalam kenyataan tersebut, organisasi berkenaan berkata mereka amat berdukacita atas pemergian Putri, yang merupakan naib juara Miss Grand Indonesia 2025.
“Kamu lebih daripada sekadar seorang pemegang gelaran. Kamu adalah sebahagian daripada keluarga Grand, jiwa indah yang menyentuh begitu banyak hati dengan keanggunan, kekuatan dan semangat,” menurut kenyataan itu.
Organisasi tersebut turut berkata, perjalanan Putri bersama mereka berakhir terlalu awal, namun kenangan, kasih sayang dan sinar yang dikongsinya akan kekal dalam hati mereka.
Mereka turut mendoakan agar Putri ditempatkan dalam kedamaian serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang.
Putri dilahirkan di Manado, Sulawesi Utara, dan dikenali dengan nama panggilan Pijey. Dia menyertai pertandingan Miss Grand Indonesia 2025 mewakili Sulawesi Utara dan muncul sebagai naib juara.
Putri kemudiannya dipilih oleh Organisasi Putri Nusantara untuk mewakili Indonesia dalam pertandingan Miss Earth 2025 di Manila, Filipina.
Dalam pertandingan tersebut, dia memenangi anugerah khas Best Social Project atas usaha advokasinya berkaitan alam sekitar.
Putri sememangnya aktif memperjuangkan isu alam sekitar. Dia menyertai kempen pengurangan sisa, pemuliharaan sungai serta usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan melindungi alam sekitar.
Selain bidang pertandingan ratu cantik dan aktivisme alam sekitar, Putri turut mencuba nasib dalam bidang muzik apabila pernah menghasilkan lagu berjudul Mati Saja.
Punca kematiannya masih belum didedahkan kepada umum.



