“Sudah Melahirkan, Baru Buat Pengumuman”

Usahawan dan selebriti, Noor Neelofa, 37, memilih untuk tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan mengenai kehamilan anak ketiganya buat masa ini.
Pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia sedar perubahan fizikalnya mungkin menimbulkan pelbagai andaian dalam kalangan orang ramai, namun tetap dengan pendirian hanya akan berkongsi berita berkenaan selepas selamat melahirkan bayi.
“Saya tidak perlu buat pengumuman. Saya tidak pernah buat pengumuman pun untuk mana-mana anak sebelum ini. Nanti apabila sudah melahirkan, baru kita buat pengumuman. Itulah yang terbaik,” katanya.
Isteri kepada penceramah, Haris Ismail atau PU Riz itu pada masa sama meminta orang ramai mendoakan agar segala urusan berkaitan kehamilan dan kesihatan bayi dipermudahkan.
“Selagi anak belum dilahirkan, apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi, kalau orang nampak perut saya berubah atau saiz perut berbeza, iyalah.
“Yang terbaik adalah doa. Doakan supaya proses sepanjang perjalanan ini dipermudahkan, sihat dan fasa seterusnya juga dipermudahkan. Apabila tiba masa untuk mengumumkannya, saya akan buat,” ujarnya.
Mengenai jantina bayi pula, Neelofa enggan mendedahkannya kepada umum dan menjelaskan majlis pengumuman jantina hanya diadakan secara tertutup bersama keluarga terdekat.
“Itu lagilah saya tidak mahu kongsi. Saya buat majlis pengumuman jantina secara tertutup bersama keluarga terdekat sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Neelofa meluahkan rasa syukur atas setiap doa baik yang dititipkan orang ramai buat dirinya dan bayi dalam kandungan.
“Alhamdulillah, apabila orang doakan yang baik, itu satu rezeki sebab dulu kita tidak pandai nak menghargai sangat bahagian itu.
“Tapi apabila semakin berusia, kita semakin melihat ramai orang melalui cabaran atau komplikasi. Jadi, doa itu sangat saya syukuri. Saya memang perlukan doa kalian,” kongsi Neelofa.
Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata, Bilal, 4, dan Abbas, 3.



