Lelaki Singapura Dikehendaki SPRM 3 Tahun Nafi Melarikan Diri

Seorang lelaki Singapura yang dikehendaki polis Malaysia selama tiga tahun berhubung siasatan rasuah tampil membuat kenyataan bagi menafikan dakwaan bahawa dia melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Poh Po Lian berkata, dia akan terus memberikan kerjasama kepada polis Malaysia dalam siasatan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan Poh sebagai individu yang masih bebas dan dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tiga tahun lalu.
Menurut New Straits Times, Poh bersama seorang warga Malaysia, Jennifer Kok Sau Keng, dikehendaki bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Selepas mereka dikatakan gagal dikesan walaupun pernah berjanji untuk bertemu pegawai penyiasat 10 bulan lalu, waran tangkap terhadap kedua-duanya dikeluarkan pada 4 Ogos lalu.
Salah satu alamat terdahulu Poh dilaporkan berada di 15 White House Park, Singapura.
Alamat terakhir yang diketahui bagi Poh dan Kok pula adalah di dua kompleks kondominium berbeza di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan yang disampaikan melalui jurucakapnya pada 14 Ogos, Poh menafikan bahawa beliau melarikan diri daripada polis Malaysia.
“Saya amat terkejut apabila mendengar mengenai waran tangkap tersebut dan perkembangan terbaharu ini. Saya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Malaysia,” katanya.
Poh berkata, dia telah datang ke Malaysia dan memberikan kerjasama kepada SPRM di pejabat agensi itu di Johor Bahru pada 5 Mac lalu, selain memberikan keterangannya.
Pada 11 Mac pula, dia juga mendakwa hadir sendiri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding probet berhubung harta pusaka mendiang taikun Malaysia, Ta Kin Yan.
Poh dan Ta merupakan pengasas bersama WazLian Group, sebuah konglomerat hotel di Malaysia. Selepas kematian Ta pada 2024, Poh diberikan probet bagi menguruskan harta pusakanya.
“Saya menghadiri prosiding itu sendiri di Kuala Lumpur sebagai wasi dan pemegang amanah harta pusakanya,” katanya.
Menurut Poh, peguamnya turut mengemukakan representasi rasmi kepada SPRM pada 27 Mac bagi memohon supaya perkara tersebut dikaji semula dan tiada tindakan lanjut diambil.
“Saya tidak pernah ‘melarikan diri’ dan sebarang dakwaan sedemikian adalah tidak benar. Seperti yang dinyatakan, saya terus memberikan kerjasama dan telah datang ke Malaysia apabila diperlukan.
“Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam apa jua cara yang mungkin,” katanya.
Sumber: Mothership



