Turun Naik Emosi, Ari Lesmana & Enau Buat Peminat Resah

Bukan sekadar konsert, persembahan Ari Lesmana menerusi Mangu di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu membawa hampir 2,000 peminat larut dengan pelbagai emosi.
Konsert anjuran Rockstage Entertainment itu menyaksikan Ari tampil bukan hanya sebagai penyanyi, malah seorang pencerita yang menggunakan muzik dan lirik sebagai medium untuk menyampaikan pelbagai sisi kehidupan.
Seperti judulnya, Mangu menggambarkan keadaan seseorang yang terkesima, termenung atau tenggelam dalam perasaan yang mendalam.
Pengertian itu jelas diterjemahkan Ari sepanjang persembahan yang dibina dalam suasana intim dan tidak tergesa-gesa, seolah-olah memberi ruang kepada penonton untuk menghayati setiap bait-bait lirik.
Malam berkenaan dibuka dengan What A Wonderful World, sebelum Ari meneruskan perjalanan muzik menerusi Ada Titik-Titik Diujung Doa, Hitam Putih, Menghitung Hari 2, Pupus dan Runtuh.

Susunan lagu yang dipilih seakan membawa penonton melalui satu demi satu lapisan emosi, bermula dengan suasana tenang sebelum berkembang kepada perasaan yang lebih mendalam.
Antara momen yang mencuri perhatian ialah ketika Ari menyampaikan Pagi Yang Gelap, lagu asal kumpulan Hujan, sebelum meneruskan persembahan dengan Everything You Are, Negara Lucu, Zona Nyaman dan Aku Tenang- berselang seli bersama Enau.
Lagu-lagu berkenaan bukan sekadar mengundang nyanyian bersama daripada peminat, malah memperlihatkan kekuatan Ari dalam menghidupkan elemen penceritaan menerusi muzik.
Kehadiran Enau sebagai artis jemputan turut memberikan warna tersendiri kepada malam berkenaan.
Pastinya kemunculan Enau disambut dengan baik oleh peminat sementelah lagu Sesi Potret nyanyiannya bersama Ari ‘merobek’ jutaan hati pendengar sejak dilancarkan awal tahun ini.

Kisah tentang kehilangan begitu dekat dengan mereka yang hidup. Ditambah dengan bait-bait lirik yang penuh makna, Sesi Potret sebetulnya memperkenalkan Enau kepada khalayak di sini.
Pemilihan Enau dilihat cukup bertepatan dengan konsep Mangu yang mengetengahkan kejujuran, perasaan dan cerita kehidupan.
Lebih menarik, persembahan itu membuktikan konsert berteraskan muzik indie tidak semestinya memerlukan produksi berlebihan untuk meninggalkan kesan.
Sebaliknya, kekuatan lagu, lirik, penyampaian dan hubungan antara artis dengan penonton sudah cukup untuk menjadikan Mangu sebagai sebuah pengalaman yang dekat dengan hati.
Ari bukan sekadar menghiburkan, tetapi mengajak peminat berhenti seketika, merenung dan ‘mangu’ bersama dalam dunia yang dibina menerusi muziknya.



