Trending

K.O.I Juara AJL40

Kumpulan K.O.I mencipta kejutan tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 menerusi lagu Tiwikarma pada malam kemuncak yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.

Kemenangan itu mengesahkan kehebatan karya ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin dengan lirik hasil sentuhan Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.

K.O.I yang tampil dengan persembahan sarat elemen dramatik dan teatrikal berjaya menewaskan sembilan karya lain untuk membawa pulang trofi AJL40 berserta hadiah wang tunai RM100,000.

Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno menerusi Tak Adil, karya ciptaan bersama Radi, yang menerima trofi serta RM50,000.

Penyanyi kelahiran Sabah, Ryenald Guntabid pula menamatkan saingan di tempat ketiga menerusi Lumangad Oku Dika, sekali gus membawa pulang trofi dan RM30,000.

Dalam kategori individu, Marsha Milan dinobatkan sebagai penerima Vokal Terbaik menerusi Tangisan Seorang Pendosa dengan hadiah RM12,000.

Aina Abdul pula mencuri perhatian menerusi persembahan berkonsep gunung berapi menerusi lagu Kamu, sekali gus membolehkannya memenangi Persembahan Terbaik dan menerima RM12,000.

Tidak hanya itu, Aina turut dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee yang menawarkan hadiah RM50,000 selain diberi peluang mewakili Malaysia ke Eurovision Asia 2026.

AJL40 menyaksikan sembilan karya daripada barisan finalis dipertandingkan, termasuk Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah, Kamu (Aina Abdul), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Tiwikarma (K.O.I), Nurcinta (Amir Masdi), Tak Adil (Aisha Retno), Semacam Pandora (Hazama) dan Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid).

Barisan juri profesional diketuai Datuk Acis bersama SM Muzaffar, Efry, AG Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim dan Helen Yap.

Related Articles

Back to top button