Trending

Julia Farhana Bakal Fail Cerai Terhadap Suami, 7 Bulan Tak Tinggal Sebumbung

Pelakon, Julia Farhana Marin, 32, bakal memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga.

Julia, berkata, mereka sudah kira-kira tujuh bulan tidak bertemu dan keputusan untuk membawa haluan masing-masing itu dibuat atas persetujuan bersama.

“Sebenarnya, saya sudah tujuh bulan tidak bertemu dengan selepas hampir setahun berpisah. Saya akan memfailkan perceraian kami.

“Perpisahan ini adalah keputusan bersama dan hubungan kami profesional dengan membawa haluan masing-masing.

“Secara teknikal, dia masih lagi suami saya. Status kami sekarang suami isteri sebab lafaz cerai belum sah, masih menunggu tarikh prosiding mahkamah sebab memerlukan banyak dokumen berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon berkenaan berharap urusan perceraian mereka dapat diselesaikan dengan baik agar masing-masing boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kami akan bercerai dan itu adalah keputusan muktamad, harap dia akan bagi kerjasama yang baik supaya saya juga boleh teruskan hidup.

“Sampai sekarang keluarga saya masih tidak tahu mengenai isu ini, mereka hanya dengar khabar angin dan membaca dari media sosial.

“Saya masih belum bercakap dengan mereka sebab sudah lama tak jumpa. Jadi, saya lalui semuanya seorang diri,” ujarnya.

Bagaimanapun, Julia belum bersedia untuk mendedahkan punca sebenar kemelut rumah tangga yang berlaku sejak tahun lalu kerana tidak mahu perkara itu mengundang pertikaian.

“Saya rasa semua orang sudah tahu bahawa pada ketika ini sedang melalui ‘sesuatu’ dalam rumah tangga saya.

“Saya tetap dengan pendirian untuk tak nak cerita apa-apa sebab bimbang boleh membawa kepada masalah atau pertikaian.

“Sebenarnya benda ini berlaku sejak tahun lepas cuma saya mengambil masa yang lama untuk fikir dan betul-betul buat keputusan,” kongsinya.

Kemelut rumah tangga Julia dan Che Hafiz sebelum ini menjadi perhatian apabila kedua-duanya dilihat tidak lagi mengikuti akaun media sosial masing-masing selain memadam foto bersama.

Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022.

Related Articles

Back to top button