Film

Zarif Ghazzi Turunkan 21Kg Demi Kudrat 1968

Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, sanggup melakukan transformasi fizikal yang drastik dengan menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram dalam tempoh tiga bulan demi menjayakan watak Abbas menerusi filem KUDRAT 1968 High Council.

Menurut pemilik nama lengkap Zarif Farahi Effie Ghazzi, pengorbanan itu dilakukan bagi memastikan penonton benar-benar melihat dirinya sebagai Abbas, bukannya mengenali watak tersebut sebagai Zarif.

Katanya, watak Abbas sangat berbeza dengan personaliti sebenar sehingga memerlukan perubahan besar dari aspek fizikal dan mental.

“Abbas ini 98 peratus bukan diri saya. Saya memang tak mahu penonton nampak Zarif dalam naskhah ini. Saya mahu mereka nampak Abbas sepenuhnya.

“Dari segi mental dan fizikal, saya buat perubahan besar. Berat badan saya turun daripada 90 kilogram kepada 69 kilogram dalam tempoh tiga bulan.

“Saya makan sekali sehari dan berjoging sejauh 15 kilometer setiap hari semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan yang sesuai.

“Saya juga bukan seorang yang pemarah atau suka bergaduh, jadi sepanjang empat hingga lima bulan membuat persediaan, itulah cabaran terbesar sebelum masuk ke set penggambaran,” katanya.

Tambah Zarif, perubahan fizikal merupakan keperluan memandangkan Abbas ialah seorang pelajar sekolah, sekali gus dia mahu memastikan penampilannya benar-benar meyakinkan di layar.

“Memang perlu sebab watak ini seorang pelajar sekolah. Sebelum ini saya banyak membawa karakter berusia lewat 20-an, jadi badan saya memang lebih besar.

“Saya sangat mementingkan elemen meyakinkan. Bukan sekadar dari segi emosi, tetapi fizikal juga. Saya tak mahu orang tengok dan cakap, ‘Badan besar tapi jadi budak sekolah.’ Itu perkara paling saya tak suka.

“Sebab itu saya kuruskan badan, gelapkan kulit dan buat apa sahaja supaya penonton percaya saya benar-benar Abbas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zarif mendedahkan dia mengamalkan disiplin yang ketat sepanjang tempoh persediaan termasuk hanya makan sekali sehari serta menghapuskan karbohidrat daripada diet hariannya.

“Untuk diet, saya masak sendiri. Saya makan daging cincang atau ayam cincang dan tukar menu setiap hari. Sehari hanya sekali makan tanpa karbohidrat kerana saya hentikan semuanya.

“Saya juga buat rawatan untuk menggelapkan kulit kerana kulit asal saya agak cerah. Abbas pula budak kampung, jadi penampilan itu perlu diubah. Keseluruhan persediaan mengambil masa kira-kira empat bulan sebelum saya melangkah ke set,” kongsinya.

Related Articles

Back to top button