Syida Melvin Dalam Keadaan Tidak Suci, Proses Lafaz Cerai Tangguh

Proses lafaz cerai membabitkan pelakon dan usahawan, Syida Melvin bersama suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen yang dijadual berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis terpaksa ditangguhkan.
Peguam syarie yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah memaklumkan, walaupun pihak defendan telah bersetuju untuk melafazkan cerai, prosiding itu tidak dapat diteruskan kerana Syida berada dalam keadaan haid.
Menurut Nurul, Hakim Syarie Norul Aina Bahari kemudian menetapkan 12 Ogos depan sebagai tarikh baharu bagi prosiding lafaz cerai berkenaan.
Sementara itu, Syida mengakui tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina sejak lebih enam tahun lalu akan berakhir dengan perceraian. Bagaimanapun, dia reda menerima segala ketentuan yang telah ditetapkan.
“Saya pun tak sangka perkara ini akan berlaku tetapi semuanya sudah tertulis. Bagi saya, rumah tangga kami sudah tidak boleh diselesaikan. Lama juga saya simpan rahsia ini, tetapi lama-kelamaan saya tidak mampu untuk terus berahsia.
“Mungkin isu yang tular tempoh hari menerusi perkongsian di media sosial itu berlaku kerana saya terlalu emosional mengenangkan apa yang terjadi kepada saya dan anak-anak,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Syida dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Perkara itu sebelum ini disahkan oleh Nurul Jamaliah yang memaklumkan prosiding berkaitan rumah tangga pasangan terbabit sedang berjalan mengikut proses mahkamah.
Untuk rekod, Syida atau nama penuhnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.



