Berita

Anne Ngasri Janji Pengisian Menarik Menerusi Bidadari Dambaan Syurga 2026

Golongan wanita di Pahang bakal disajikan dengan pelbagai pengisian bermanfaat menerusi program Bidadari Dambaan Syurga 2026 yang berlangsung di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Sabtu ini.

Program percuma bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang itu dianjurkan sebagai inisiatif kerajaan negeri bagi memperkasa wanita melalui pengisian kerohanian, pembangunan sahsiah, kesejahteraan emosi dan inspirasi keusahawanan.

Acara yang menyasarkan penyertaan wanita daripada pelbagai peringkat usia, termasuk usahawan dan generasi muda, turut menampilkan barisan penceramah terkenal serta panel jemputan yang akan berkongsi pengalaman dan ilmu sepanjang program berlangsung.

Pada sesi pagi, peserta akan mengikuti pengisian kerohanian bersama Ustazah Yong Lynna James Baven Al-Almaniy dan Ustazah Farhatul Fairuzah yang akan membincangkan aspek pengukuhan iman, pengurusan emosi serta ketenangan jiwa.

Kemuncak program bermula jam 2 petang menerusi forum khas membabitkan ikon usahawan Datin Hamizan Puteh dan pelakon serta usahawan Datin Anne Ngasri, yang bakal berkongsi perjalanan kerjaya, cabaran dunia perniagaan serta pengalaman membina kejayaan.

Anne berkata, beliau berbesar hati menerima jemputan untuk berkongsi pengalaman walaupun menganggap dirinya masih banyak yang perlu dipelajari.

“Saya bersyukur diberi peluang untuk bersama-sama peserta. Jika perkongsian ini dapat memberi manfaat dan membantu orang lain menjadi lebih baik serta berjaya, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai, khususnya wanita, hadir bagi mengikuti sesi perkongsian yang disediakan.

Sementara itu, Hamizan berkata, beliau berharap pengalaman membina perniagaan serta pengiktirafan yang pernah diterima sebagai ikon usahawan wanita dapat menjadi inspirasi kepada peserta, terutama mereka yang ingin memulakan langkah dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, gabungan pengalaman bersama Anne dijangka memberi perspektif berbeza kepada peserta kerana masing-masing mempunyai latar belakang dan kekuatan tersendiri.

“Perkongsian ini bukan sekadar mengenai perniagaan, tetapi bagaimana seseorang itu bangkit menghadapi cabaran dan terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Selain forum utama, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan, mengunjungi reruai pameran serta mengikuti pengisian sepanjang hari yang disediakan penganjur.

Program Bidadari Dambaan Syurga 2026 diharap menjadi platform membentuk wanita yang lebih berkeyakinan, kukuh dari segi emosi dan kerohanian serta berdaya saing dalam memperkukuh ekonomi keluarga.

Wanita di sekitar Sungai Koyan, Cameron Highlands dan kawasan berhampiran dijemput hadir memeriahkan program yang berlangsung pada Sabtu, 8 Ogos ini di Laman Sejahtera.

Related Articles

Back to top button