Syafiq Farhain Bertemu Semula Dengan Adik Selepas Sedekad, Ameng Jadi Orang Tengah

Penyanyi, Syafiq Farhain, 32, meluahkan rasa syukur apabila hubungan bersama adik kandung berlainan ibu, Amirul Mukmin, kembali terjalin selepas lebih sedekad terpisah akibat kemelut dalaman keluarga.
Pemilik nama sebenar Nursyafiq Farhain A.M Salim, berkata, pertemuan semula dengan Amirul berlaku kira-kira dua hingga tiga bulan lalu atas usaha adiknya itu sendiri.
“Kami baru sahaja jumpa semula dalam dua tiga bulan lalu selepas bertahun-tahun. Kali terakhir saya jumpa Amirul masa dia sekolah lagi, sekarang dah umur 23 tahun.
“Baru jumpa balik, akrab baliklah senang kata. Saya gembira dia sudi bertemu. Waktu itu bukannya saya tak sudi, cuma tak tahu cari di mana. Lagipun takut jadi isu lain,” katanya.
Menurut Syafiq lagi, hubungan mereka kembali terjalin selepas Amirul bertemu penyanyi Ameng Spring yang kemudian menjadi orang tengah untuk menemukan mereka.
“Waktu itu dia jumpa Ameng Spring. Saya pula memang selalu bertemu Ameng. Dia bagitahu, ‘Ni adik mu ni nak jumpa mu ni.’
“Bila dapat berhubung, dia cakap baik-baik dan minta maaf atas apa yang berlaku dulu-dulu tu tapi sebenarnya pada saya hal dulu bukan salah dia pun.
“Dia tak tahu apa-apa. Masa itu dia masih kecil, darjah empat atau lima macam tu. Dia tak tahu nak fikir mana yang okey dan tidak,” ujarnya.
Mengimbas kembali pertemuan tersebut, Syafiq mengakui sebelum ini pernah menyangka Amirul tidak menyukainya, namun tanggapan itu berubah selepas mereka kembali bertemu dan berkomunikasi.
“Dia pun orangnya beradab, tidak seperti mana sangkaan saya sebelum ini. Sebab dulu saya fikir mungkin dia tidak suka saya, tapi sebenarnya benda sebegitu tak wujud pun. Orangnya baik sahaja,” kongsinya.
Dalam pada itu, Syafiq berkata, dia kini semakin selesa berhubung dengan Amirul menerusi mesej dan cuba melayan adiknya itu seperti adik-beradik yang lain.
Bagaimanapun, dia mengakui masih terdapat sedikit rasa kekok antara mereka memandangkan sudah terlalu lama tidak bertemu.
“Alhamdulillah okey, selalu mesej apa semua. Saya layan dia macam adik yang lain. Cumanya ada sedikit janggal sebab lama tak jumpa.
“Saya kalau layan adik-beradik lain macam kawan-kawan. Tapi saya takut bila saya buat macam tu, dia kurang selesa sebab cara kita membesar mungkin berbeza,” kongsinya.
Syafiq merupakan anak keempat daripada lima beradik hasil perkahwinan Saleem dengan bekas isterinya, Napisah Muhammad Juwita, manakala Amirul pula adalah anak tunggal Saleem bersama Julia Bachok.



