Trending

Digam Stesen TV? Aliff Aziz Percaya Pada Rezeki

Pelakon, Aliff Aziz, 35, mengakui tidak mengetahui mengenai dakwaan yang mendakwa dirinya digam stesen televisyen susulan kontroversi rumah tangga yang pernah melanda dirinya beberapa tahun lalu.

Pemilik nama lengkap Mohamad Aliff Aziz, berkata, dia tidak mampu untuk mengesahkan atau menafikan perkara berkenaan kerana bukan pihak yang terlibat dalam urusan pemilihan pelakon di stesen televisyen tempatan.

“Saya bukan bertugas di stesen televisyen (TV) tempatan. Jadi, saya sendiri tidak pasti dan tidak berani mengulas apa yang sebenarnya dibincangkan atau sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Bagi saya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa di mana ada rezeki, di situlah saya akan memberikan yang terbaik.

“Kalau selepas ini ada peluang di stesen TV tempatan, saya juga akan memberikan yang terbaik. Bukan dalam kawalan atau kuasa saya untuk menentukan siapa yang dipilih atau tidak dipilih,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, Aliff tidak menafikan dirinya akan berasa kecewa sekiranya perkara itu benar, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara yang berada di luar kawalannya.

“Sekiranya benar saya digam, sudah tentulah saya berasa sedih. Namun, saya akan kembali mengingatkan diri bahawa mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik.

“Apabila saya percaya ada yang lebih baik menanti, saya tidak terlalu tertekan. Walaupun ada yang berkata mereka tidak mahukan saya berada di sesuatu tempat, Alhamdulillah masih ada pihak lain yang memberikan peluang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aliff meluahkan rasa syukur kerana sehingga kini masih diberikan peluang untuk meneruskan kerjaya seni menerusi tawaran lakonan dan pekerjaan lain.

Menurutnya, setiap peluang yang hadir akan dihargai sebaik mungkin tanpa menjadikan komen negatif sebagai penghalang untuknya terus melangkah.

“Saya sangat bersyukur. Bukanlah saya hendak menunjuk atau berkata, ‘tengok, saya masih ada’, tidak. Rezeki itu ada di mana-mana. Jadi, apabila peluang itu datang kepada saya, saya akan menghargainya dan memberikan yang terbaik.

“Dalam banyak-banyak komen negatif, saya percaya masih ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam. Saya benar-benar percaya kepada perkara itu,” tambah Aliff.

Terdahulu, timbul spekulasi mendakwa Aliff digam daripada membintangi sebarang naskhah televisyen susulan kontroversi rumah tangganya sebelum ini.

Related Articles

Back to top button