Concert

“Tak Lengkap Hati Kama Tanpa Kak Ani”

Noraniza Idris akhirnya disahkan sebagai antara artis jemputan yang bakal memeriahkan Konsert Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki dalam kalangan peminat yang sebelum ini mengharapkan penyanyi bergelar Ratu Irama Malaysia itu tampil sepentas bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, 47, pemilihan Noraniza bukanlah sesuatu yang sukar kerana dia merupakan antara figura yang konsisten memperjuangkan irama tradisional tanah air sehingga hari ini.

“Saya amat menghormati Noraniza dan bagi saya, dia memang perlu ada bersama dalam konsert ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila dia sudi menerima pelawaan untuk sama-sama menjayakan konsert ini.

“Sebak bila bercakap tentang ini, tak lengkap Hati Kama tanpa Kak Ani,” katanya.

Dalam pada itu, Siti berharap konsert berkonsepkan muzik tradisional dan etnik kreatif itu mendapat sambutan hangat daripada peminat, sekali gus menjadi platform memperkenalkan keindahan muzik warisan kepada generasi muda serta pelancong luar.

“Doa dan harapan saya, dengan izin Allah, konsert ini dapat direalisasikan di Stadium Nasional.

“Saya mahu muzik warisan kita terus dihargai, bukan sahaja oleh generasi baharu tetapi juga pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

“Saya sendiri tidak tahu bila lagi akan berpeluang menganjurkan konsert berskala besar seperti ini pada masa akan datang.

“Konsert ini bukan untuk saya semata-mata, tetapi buat semua yang selama ini gigih memperjuangkan muzik tradisional negara,” ujarnya.

Selain Noraniza, konsert berkenaan turut menampilkan Haziq Rosebi serta dua penyanyi popular dari Indonesia iaitu Lesti Kejora dan King Nassar.

Related Articles

Back to top button