Anne Ngasri Terkejut Video Disunting Untuk Scam, Laporan Polis Bakal Dibuat

Pelakon dan usahawan, Datin Anne Ngasri, 41, terkejut apabila video serta identitinya disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi mempromosikan tawaran pinjaman yang dipercayai bertujuan menipu orang ramai.
Pemilik nama sebenar Naszriah Ngasri berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas menerima kiriman daripada beberapa rakan yang menghantar pautan video berkenaan kepadanya.
“Sahabat-sahabat media sosial yang kirimkan video itu kepada saya dan tontonan video itu agak tinggi. Jadi pada saya ini satu perkara yang perlu saya ambil berat kerana ia adalah satu penipuan.
“Saya terkejut sebab mereka edit video tersebut untuk minta pinjaman. Sampai beli tudung bawal pun dia boleh cakap boleh dapat pinjaman sekian-sekian,” katanya.
Tidak mahu perkara tersebut berlarutan, Anne kemudian tampil membuat penjelasan menerusi media sosial bagi memberi amaran kepada pengikutnya supaya tidak mudah terpedaya dengan video berkenaan.
Lebih serius, Anne memaklumkan dia sudah menyediakan draf laporan polis selain mendapatkan pandangan daripada peguam bagi menentukan tindakan selanjutnya terhadap pihak yang menyalahgunakan identitinya.
“Saya baru selesai draf laporan polis dan saya juga dapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan seterusnya.
“Saya harap orang yang buat perkara macam ini janganlah begitu. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai orang mungkin perlukan pinjaman, tetapi jangan gunakan muka saya untuk buat perkara yang tidak betul.
“Platform saya adalah untuk berkongsi tentang diri saya, bukannya untuk digunakan bagi tujuan menipu. Dari sudut undang-undang pun ia memang salah,” ujarnya.
Menurut Anne, walaupun kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama melibatkan dirinya secara langsung, dia tidak mahu mengambil mudah perkara itu kerana bimbang lebih ramai pengguna media sosial menjadi mangsa.
“Sebelum ini memang banyak akaun palsu di TikTok dan Facebook yang gunakan nama saya tetapi saya hanya ada satu akaun sahaja.
“Apabila melibatkan penipuan, saya tak boleh biarkan. Saya perlu ambil tindakan supaya tak ramai orang jadi mangsa,” katanya lagi.
Terdahulu, Anne mendedahkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan video serta identitinya bagi tujuan penipuan di media sosial.
Jelasnya, dia sama sekali tidak pernah terlibat atau menjadi wakil kepada mana-mana skim pinjaman seperti yang dipromosikan menerusi video terbabit.
Anne turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu tawaran terlebih dahulu dan tidak mudah percaya dengan kandungan yang menggunakan wajah atau namanya tanpa kebenaran.



