DOLLA & F.Hero Cipta Sensasi Menerusi G.O.A.T

Selepas lapan bulan tanpa buah tangan baharu, kumpulan wanita popular DOLLA kembali mencuri perhatian menerusi single terbaharu berjudul G.O.A.T, hasil kolaborasi bersama ikon rap Thailand, F.Hero.
Lagu berkenaan bukan sekadar menandakan kemunculan semula DOLLA, malah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka dengan mempertaruhkan imej serta hala tuju muzik yang lebih berani untuk menembusi pasaran Asia Tenggara dan antarabangsa.
Menggabungkan elemen pop moden dengan rap, lagu itu membawa mesej mengenai keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri serta kekuatan mengharungi cabaran tanpa dibelenggu keraguan.
Kolaborasi bersama F.Hero turut dilihat sebagai langkah strategik DOLLA dalam mengembangkan pengaruh mereka ke Thailand, antara pasaran muzik paling pesat berkembang di rantau ini.
Kehadiran figura hip-hop terkenal itu turut memberikan identiti tersendiri menerusi gabungan unik antara muzik pop Malaysia dan hip-hop Thailand.
“Bekerjasama dengan F.Hero memang satu pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter,m dan itu selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi G.O.A.T.
“Kami anggap F.Hero benar-benar membawa semangat lagu ini. Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontra itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu,” kongsi DOLLA.

Selain kerjasama rentas negara, G.O.A.T turut mencerminkan hubungan kreatif yang semakin kukuh antara Malaysia dan Thailand, di samping memperkenalkan DOLLA kepada khalayak lebih luas di seluruh rantau ini.
Dari sudut visual pula, DOLLA tampil dengan transformasi paling berani sepanjang kerjaya mereka apabila meninggalkan imej glamor yang sinonim sebelum ini. Sebaliknya, mereka memilih konsep lebih edgy, penuh karakter dan berani, selari dengan mesej lagu yang mengangkat keyakinan menjadi diri sendiri.
Daripada penggayaan fesyen hingga visual sinematik, setiap elemen kreatif yang dipersembahkan membawa mesej bahawa keyakinan tidak memerlukan pengiktirafan orang lain sebaliknya lahir daripada diri sendiri.
“G.O.A.T adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Mesej utamanya bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini.
“Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri. Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia untuk melangkah lebih jauh,” tambah mereka.

Sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh di Malaysia, DOLLA terus membuktikan mereka tidak sekadar mengikut arus sebaliknya berani mencipta identiti tersendiri menerusi eksplorasi muzik dan konsep yang lebih matang.
Melangkah ke fasa seterusnya, DOLLA memberi bayangan bahawa era G.O.A.T akan diteruskan dengan lebih banyak perancangan menarik buat peminat.
“Ini memang era yang kami teruja untuk teruskan. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak persembahan, konsep-konsep menarik dan tentunya lebih banyak muzik baharu daripada kami. Kami juga tidak sabar untuk menjayakan persembahan di Paris Oktober ini, yang merupakan satu pencapaian besar buat DOLLA.
“Konsep ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini, jadi peminat akan terus melihat sisi DOLLA yang lebih berani, lebih yakin dan lebih matang pada masa akan datang,” ujar mereka.
Sebagai rekod, G.O.A.T diterbitkan penulis lagu dan penerbit dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen. Lagu itu turut ditulis bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen dan F.Hero.



