Lagu Baharu

Insomniacks Harap ’Love Me Or Not’ Tembus Pasaran Antarabangsa

Selepas mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tempatan, kumpulan Insomniacks tampil berani membuka lembaran baharu apabila mempertaruhkan single berbahasa Inggeris sepenuhnya berjudul Love Me Or Not.

Naskhah ini bukan sahaja membawa nafas baharu buat perjalanan muzik mereka, malah menjadi bukti kesungguhan kumpulan berkenaan untuk menembusi pasaran antarabangsa menerusi kolaborasi bersama barisan pencipta lagu dari Sweden.

Menurut Insomniacks, pemilihan bahasa Inggeris bukan sesuatu yang asing buat mereka, sebaliknya sebahagian daripada perancangan untuk memperluaskan pengaruh ke luar negara, khususnya Filipina.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami mengeluarkan lagu dalam bahasa Inggeris, jadi ia bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat kami. 

“Kali ini kami melihat ia sebagai peluang untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada audiens yang lebih luas, terutamanya di Filipina. Kami ingin mencuba nasib di pasaran yang berbeza daripada Malaysia,” ujar Insomniacks.

Di sebalik melodi pop yang segar, Love Me Or Not mengangkat kisah cinta tidak berbalas mengenai seseorang yang terus menyayangi walaupun sedar dirinya bukan lagi sebahagian daripada kehidupan insan yang dicintai.

Menurut mereka, lagu itu membawa mesej bahawa tidak semua perasaan akan dibalas namun keikhlasan dalam menyayangi seseorang tetap mempunyai nilai tersendiri.

“Love Me Or Not mengisahkan tentang menerima hakikat bahawa perasaan kita mungkin tidak akan dibalas, tetapi kita masih ikhlas menyayangi seseorang. Kami berharap sesiapa yang pernah melalui situasi seperti ini akan rasa mereka tidak keseorangan apabila mendengar lagu ini,” kongsi mereka.

Dalam masa sama, Insomniacks mengakui proses menghasilkan lagu itu menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanan seni mereka apabila ia tercipta secara spontan ketika menyertai sebuah sesi penulisan lagu.

Malah, mereka tidak pernah merancang untuk menjadikan karya itu sebagai single utama.

“Lagu ini pada asalnya terhasil daripada sebuah writing camp dan ia lebih kepada satu eksperimen. Kami masuk ke studio dengan fikiran, ‘kalau jadi, jadilah,’ tanpa sebarang tekanan. 

“Apa yang mengejutkan, keseluruhan lagu ini berjaya disiapkan dalam masa sehari sahaja. Apabila kami mendengarnya semula, kami semua terus jatuh hati dan tahu inilah lagu yang kami mahu keluarkan terlebih dahulu sebelum album baharu,” kata Insomniacks.

Kolaborasi bersama pencipta lagu antarabangsa turut memberi pengalaman berharga buat kumpulan itu apabila mereka berpeluang mempelajari pendekatan kreatif yang berbeza dalam menghasilkan muzik.

“Pengalaman ini benar-benar membuka mata kami. Kami belajar bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan muzik, dan daripada situ kami memperoleh banyak idea serta perspektif baharu. 

“Ini setidaknya membuatkan kami lebih yakin untuk bereksperimen dan membawa pendekatan yang berbeza dalam karya-karya kami selepas ini,” ujar mereka.

Dalam perkembangan sama, Insomniacks turut melakar satu lagi pencapaian apabila diumumkan sebagai pembuka tirai (opening act) bagi konsert kumpulan pop-rock antarabangsa, 5 Seconds of Summer, yang dijadual berlangsung pada 17 November dan 4 Disember depan.

Peluang itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar buat Insomniacks selain membuka ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada khalayak yang lebih luas di pentas antarabangsa.

Related Articles

Back to top button