Berita

“Kalau Harap Semua Pada AI, Kita Akan Jadi Malas”

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, berpandangan teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar dimanfaatkan sebagai satu kemajuan, namun tidak seharusnya digunakan sehingga menghakis nilai kreativiti manusia.

Menurut Siti, AI merupakan satu alat yang boleh membantu memudahkan urusan termasuk dalam bidang seni, tetapi penggunaannya perlu dilakukan secara bijaksana dan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi tersebut.

“Sebenarnya AI ini hanya sebagai ‘alat’ sahaja. Kita jangan sampai menolak sebab ini adalah kemajuan teknologi.

“Kita sepatutnya menggunakan AI pada waktu dan cara yang bersesuaian. Selebihnya perlu guna kreativiti dan berinovatif sendiri. Barulah minda kita berkembang,” katanya.

Tambah pelantun lagu Rencong itu, sekiranya manusia terlalu bergantung kepada AI, ia dibimbangi akan menyebabkan kreativiti semakin terbatas dan mengurangkan usaha untuk menghasilkan sesuatu secara asli.

“Kalau kita mengharapkan semua pada AI, akan jadi lebih malas. Sebab itu saya cakap, AI hanya sebagai alat sahaja. Selebihnya kita kena kerjalah dengan kehebatan dan kreativiti kita. Itu jawapan saya,” ujarnya seperti dilapor Kosmo.

Mengulas lanjut, Siti menegaskan kemajuan teknologi tidak seharusnya ditolak, sebaliknya dimanfaatkan sebagai pelengkap kepada idea dan bakat yang dimiliki seseorang.

Katanya, keseimbangan antara penggunaan teknologi dan kreativiti manusia amat penting bagi memastikan hasil yang dihasilkan terus mempunyai nilai, identiti serta keaslian.

Terdahulu, isu penggunaan AI dalam penghasilan karya kreatif termasuk lagu hangat diperkatakan dalam kalangan penggiat industri muzik tempatan, dengan pelbagai pihak berkongsi pandangan mengenai kesan teknologi itu terhadap masa depan dunia seni.

Related Articles

Back to top button