Mila Jirin Jawab Dakwaan Culas Bayar Caruman KWSP Pekerja

Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin, 38, tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan syarikat miliknya gagal melunaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Mila, dia tidak menafikan terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan mempunyai asas, namun mendakwa sebahagian daripada cerita yang tersebar telah ditokok tambah sehingga menimbulkan persepsi kurang baik terhadap dirinya dan syarikat.
“Saya tidak tahu siapa yang bercakap itu. Tak apalah, itu hak mereka. Saya tak pernah nak membalas balik. Semua pekerja dilindungi akta. Apa pun jangan risau, yang kita boleh uruskan, kita uruskan.
“Di Bizmilla, kami mengutamakan gaji pekerja dan kelebihan-kelebihan yang mereka dapat. Segala yang tertunggak itu kami akan uruskan.
“Dakwaan itu, ada yang betul dan ada yang tidak. Ada perkara yang ditambah-tambah. Ada perkara yang kita sudah selesaikan pun. Cerita yang diluahkan di Thread itu kita tak tahu bila berlaku.
“Yang penting sekarang ini kita sedang membuat pembayaran secara berjadual,” katanya.
Sebelum ini, platform Threads hangat dengan perkongsian seorang individu yang mendakwa Bizmilla Wedding Hall tidak melunaskan caruman KWSP pekerja sehingga menyebabkan kakitangan berkenaan mengambil keputusan meninggalkan syarikat tersebut.
Mengulas lanjut, Mila berkata dia memilih untuk tidak melayan segala tuduhan yang berlegar di media sosial kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu yang timbul.
“Saya bukan majikan macam itu. Daripada saya runsing tentang masalah, baik saya fikir cara menyelesaikannya. Kerana itu saya tak pernah membalas apa sahaja tuduhan di media sosial” ujarnya.
Dalam pada itu, Mila mengakui pelbagai faktor boleh menjadi punca mengapa isu tersebut dibangkitkan oleh pihak tertentu, namun enggan membuat sebarang spekulasi.
“Di Bizmilla kita mempunyai ramai pekerja, susah untuk kita pantau yang berhenti dan yang tidak. Apa yang penting saya nak pastikan pasukan kita semua bergaji.
“Yang menambah cerita itu, saya tak mahu ulas. Yang saya nak cakap adalah saya melakukan yang terbaik untuk berjuang dengan kakitangan saya. Kalau saya bukan majikan yang baik, tidaklah pasukan saya uruskan majlis sebaik ini.
“Mungkin mereka yang bercakap itu tidak berpuas hati. Mungkin juga diberhentikan sebab surat amaran, kita tidak tahu.
“Tapi tak mengapa, itu keputusan mereka. Saya tetap ikut prosedur operasi standard (SOP), polisi,” katanya.



