Global

Majikan Pecat Pekerja Didakwa Malu Jemput Ibu Ke Majlis Kahwin

Seorang majikan di China berkongsi yang dia pernah memecat seorang pekerja kerana didakwa tidak menjemput ibu kandungnya ke majlis perkahwinan sendiri akibat malu dengan rupa paras wanita itu.

Menurut Sin Chew Daily, pengasas Henan Mining Crane Co. Ltd, Cui Peijun, terkenal sebagai seorang majikan yang pemurah apabila mengagihkan bonus hujung tahun melebihi 100 juta yuan (RM60.4 juta) selama dua tahun berturut-turut.

Pada 21 Julai, syarikat itu melancarkan program latihan khas musim panas untuk anak-anak pekerja dan mengambil seramai 331 pelajar sebagai peserta, lapor finance.sina.com.

Ketika majlis pelancaran, Cui berkata membalas jasa serta berbakti kepada ibu bapa merupakan asas untuk menjadi insan yang baik.

Menurutnya, seseorang yang gagal mengamalkan nilai paling asas iaitu berbakti kepada ibu bapa tidak layak mendapat penghormatan daripada syarikat mahupun orang lain.

Dia kemudian berkongsi kisah seorang pekerjanya yang melangsungkan perkahwinan. Ketika menghadiri majlis itu, Cui mendakwa ternampak ibu pekerja tersebut duduk bersendirian di kawasan teduh berhampiran kilang.

Apabila ditanya mengapa ibunya tidak menghadiri majlis perkahwinan, pekerja itu didakwa menjawab: “Sebab wajah ibu saya tidak cantik. Saya takut dia akan memalukan saya,” katanya.

Menurut sohu.com, jawapan itu membuatkan Cui berang.

Dia kemudian berkata kepada pekerja itu: “Kamu kehilangan ayah ketika berusia dua tahun, tetapi inikah cara kamu melayan ibu yang membesarkan kamu?” tanya Cui.

Cui kemudian memecat pekerja tersebut serta-merta.

Selepas menyedari sukar untuk mendapatkan pekerjaan lain dan mengenangkan gaji lumayan yang diterimanya di syarikat itu, pekerja berkenaan kembali menemui Cui. Dia dilaporkan melutut dan merayu agar diberi peluang kedua.

Bagaimanapun, Cui tetap enggan menerimanya semula dan memberitahu bahawa beliau sudah hilang rasa hormat terhadap pekerja itu.

Sebaliknya, Cui mengatur pekerjaan untuk ibu pekerja berkenaan yang sebelum itu telah bersara daripada sebuah bengkel dengan menempatkannya di bahagian logistik syarikat.

Dia turut menawarkan gaji yang setara dengan pendapatan wanita itu sebelum bersara.

Kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam talian. Ada yang menyokong tindakan Cui dan berpendapat kemahiran kerja boleh dipelajari, tetapi sikap serta nilai seseorang sukar diubah.

Namun, ada juga yang berpendapat bahawa walaupun sesebuah syarikat boleh mempromosikan nilai murni, isu berbakti kepada ibu bapa merupakan soal moral peribadi.

Mereka berpendapat jika pekerja itu tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan tugasnya, tindakan memecatkannya atas alasan tersebut berkemungkinan boleh dianggap sebagai pencabulan hak pekerja.

Related Articles

Back to top button