Berita

Isteri Potong Kaki Akibat Diabetes, Mus Ambil Keputusan Pindah Rumah Yang Ada Lif

Vokalis kumpulan Barbarik, Mus, 58, meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatan isterinya, Suraya Bahari yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang selepas menjalani pembedahan pada kaki kiri akibat komplikasi diabetes, kini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Menurut pemilik nama sebenar Mustaffa Din, isterinya sudah hampir 40 hari dirawat di hospital dan keadaannya kini semakin stabil berbanding sebelum ini.

“Dah 40 hari terima rawatan di sini, keadaannya semakin baik. Cuma satu sahaja, dia kena betul-betul jaga pemakanan sebab bila ada diabetes ini, hanya bab makanan yang jadi masalah.

“Dia sebenarnya ada banyak masalah seperti tiroid, jantung dan paru-paru. Itu penyakit yang utama. Masa potong kaki itu, memang di awal-awal saya kira macam leceh sikit.

“Tapi nampaknya keadaan kaki dia dah okey. Yang simptom lain itulah yang perlu dijaga. Dia kena jaga makan. Dia ada tiroid dan itu antara yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Mengulas lanjut, Muss berkata isterinya dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat sekiranya tahap kesihatannya terus stabil.

Katanya, selepas keluar dari hospital, Suraya akan meneruskan rawatan susulan bagi beberapa masalah kesihatan lain yang dihidapinya.

“Rawatan di sini sampai di sini sahaja sebab hospital akan buat yang asas atau yang utama.Kalau ada rawatan susulan, kami kena buat di luar.

“Dia akan dibenarkan keluar dalam masa terdekat. Saya rasa kalau dia stabil dalam beberapa hari ini, bolehlah keluar,” ujar Mus.

Pada masa sama, penyanyi itu mengakui kehilangan sebelah kaki akan membawa perubahan besar dalam kehidupan isterinya, terutama dari segi pergerakan dan rutin harian.

Menurutnya, dia juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu itu bagi memastikan segala keperluan isterinya dapat diuruskan dengan lebih mudah.

“Sebab isteri perlu sesuaikan diri. Kalau sakit lain atau kehilangan anggota badan yang lain, mungkin masih boleh lagi. Tapi bila babitkan potong kaki, memang pergerakan jadi agak sukar.

“Banyak perubahan kena buat. Contohnya saya terpaksa pindah rumah. Sebelum ini kami tinggal di rumah yang perlu naik tangga, jadi sekarang kami berpindah ke rumah yang ada lif.

“Saya terus ambil tindakan. Walaupun sibuk berulang-alik ke hospital, saya sempat uruskan semua hal berkaitan rumah. Bila isteri balik nanti, semuanya sudah siap. Kena buat macam itu, kalau tak nanti bertambah pula perkara yang perlu diuruskan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, Suraya menjalani pembedahan memotong kaki kirinya pada 13 Jun lalu selepas mengalami komplikasi akibat penyakit diabetes yang dihidapinya.

Related Articles

Back to top button