Mimi Lana Buat Babak Romantik Dengan Adipati Dolken Sebelum Kahwin

Pelakon, Mimi Lana, 31, menjelaskan babak romantik yang dilakonkannya bersama aktor popular Indonesia, Adipati Dolken dalam filem Mojoku Hilang! dirakam sebelum dia bergelar isteri kepada Syafiq Kyle.
Mimi berkata, statusnya sebagai seorang isteri kini membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menerima tawaran lakonan, terutama jika membabitkan babak yang memerlukan pertimbangan dari segi batas dan kesesuaian.
“Penggambaran filem ini dibuat sebelum saya berkahwin, jadi keadaannya memang berbeza dengan sekarang.
“Selepas berkahwin, saya akui banyak perkara berubah. Dari segi pemilihan watak dan membuat keputusan, saya perlu lebih berhati-hati.
“Dulu saya masih bujang, tetapi sekarang saya akan berbincang dan mendapatkan pandangan suami terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sesuatu projek,” katanya.
Dalam pada itu, Mimi menegaskan babak romantik dalam filem arahan Min Lim itu tidak melampaui batas dan menyifatkan masih berada dalam ruang yang sesuai.
Katanya, sehingga kini dia belum menerima tawaran untuk membintangi filem komedi romantik selepas berkahwin, justeru belum berdepan situasi untuk berbincang mengenai perkara itu dengan suaminya.
“Buat masa ini belum ada lagi tawaran sebegitu selepas saya berkahwin. Jadi saya sendiri tidak tahu bagaimana perbincangan itu akan berlaku jika ada peluang pada masa depan.
“Namun, apa yang pasti, setiap keputusan sekarang perlu mendapat persetujuan serta pandangan suami terlebih dahulu. Untuk filem ini pula, semuanya sudah selesai dirakam lama sebelum saya berkahwin.
“Lagipun, tiada babak yang keterlaluan. Babak seperti itu juga pernah saya jayakan dalam beberapa karya sebelum ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Mimi dan Syafiq mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2025.



