Lagu Baharu

ONE ON ONE Permulaan Fasa Baharu Ismail Izzani

Selepas melalui fasa bereksperimen dengan pelbagai genre muzik, penyanyi dan penulis lagu Ismail Izzani kini bersedia membuka lembaran baharu dalam kariernya menerusi single terbaharu, ONE ON ONE.

Lebih istimewa, lagu terbitan Universal Music Malaysia yang dicipta dan diterbitkan Alyph itu menjadi pembuka jalan kepada album penuh Ismail yang bakal menemui peminat tahun ini.

Mengangkat kisah cinta yang sederhana tetapi dekat dengan realiti, ONE ON ONE berkisar mengenai keinginan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang tanpa sebarang gangguan, sekali gus menghargai detik yang hanya dikongsi berdua.

“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika. 

“Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” katanya.

Single itu turut menyatukan semula Ismail dan ALYPH selepas beberapa kerjasama sebelum ini. Namun, menurut Ismail, proses kali ini lebih bermakna kerana mereka diberi ruang untuk membangunkan idea secara lebih organik.

“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi. 

“Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur. ONE ON ONE lahir daripada sesi brainstorming kami bersama, dan saya rasa itu yang menjadikan lagu ini lebih dekat dengan diri saya,” tambahnya lagi.

Ismail bersama Alyph.

Pada masa sama, penyanyi berusia 26 tahun itu mengakui ada pihak yang melihat ONE ON ONE sebagai mengembalikan aura lagu popularnya, Bidadari. 

Namun, dia menegaskan karya terbaharu itu bukan usaha mengulangi kejayaan lama, sebaliknya mencerminkan evolusi muziknya.

Dia juga tidak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri. 

Bagi Ismail, ONE ON ONE adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang.

Naskhah ini juga mempunyai nilai sentimental apabila menjadi lagu pertama dipilih untuk dimuatkan dalam album baharunya, sekali gus menjadi asas kepada projek yang sudah lama dirancang bersama pasukannya.

Dengan kematangan yang dimiliki dan semangat baharu untuk terus berkarya, Ismail berharap peminat dapat menerima perubahan yang dibawakan menerusi album berkenaan.

“Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya. Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya-Allah, banyak perkara menarik sedang menanti,” jelasnya lagi.

Related Articles

Back to top button