“Ada Yang Seru Saya Buat Konsert Solo”

Penyanyi, Mawi, 45, merancang untuk mengadakan konsert solo yang dijangka berlangsung sekitar September atau Oktober depan selepas menerima sambutan luar biasa daripada peminat.
Menurut pemilik nama sebenarnya Asmawi Ani, hasrat itu kembali tercetus selepas kemunculannya dalam Konsert 3 Aura mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan daripada penonton.
Katanya, ramai peminat meluahkan keinginan untuk melihatnya tampil dalam sebuah konsert solo kerana merasakan persembahannya pada konsert berkenaan terlalu singkat.
“Selepas konsert 3 Aura memang tidak disangka maklum balas yang sangat positif saya terima daripada penonton. Ramai yang minta saya mengadakan konsert solo sendiri. Mereka kata tidak puas dengan persembahan saya,” katanya.
Dalam Konsert 3 Aura yang berlangsung baru-baru ini, Mawi bergandingan bersama dua penyanyi berpengalaman iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring.
Susulan sambutan diterima, pelantun lagu Aduh Saleha itu kini berhasrat menghadiahkan sebuah konsert khas buat peminat yang sekian lama menantikan persembahan solonya.
Sebelum ini, Mawi turut mendapatkan pandangan peminat menerusi satu hantaran di Threads mengenai cadangan untuk menganjurkan konsert berskala kecil.
“Atas permintaan sahabat-sahabat ada yang ‘seru’ saya untuk buat konsert solo, saya ingat nak buat kecil-kecilan dulu dalam 3,000 orang. Insya-Allah dalam bulan September atau Oktober. Anda berminat tak nak sertai?” tulisnya.
Sebelum ini, Konsert Tsumawi Mawi World Live In Kuala Lumpur dijadual berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Januari tahun lalu sebelum ditunda ke Julai, namun akhirnya dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.



