“Saya Pernah Jadi Kerani, Edar Flyers Tepi Jalan”

Pelakon dan usahawan, Syatilla Melvin, 35, menjawab tanggapan segelintir netizen yang mendakwa golongan selebriti lebih mudah meraih keuntungan dalam perniagaan hanya kerana memiliki nama dan populariti.
Menurut Syatilla, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan hadir dengan mudah, sebaliknya dibina hasil kerja keras dan pelbagai pengorbanan yang dilalui sebelum bergelar anak seni.
“Perkongsian saya sebelum ini ramai yang komen, ‘awak itu artis bolehlah, awak artis jual kayu pun orang beli, awak artis dan sebagainya’. Saya tak marah pun.
“Tapi kalau sekadar artis, tapi tiada usaha pun tidak boleh juga bukan? Sebelum jadi artis, orang kenal, pahitnya saya saja telan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Berkongsi pengalaman lampau, Syatilla berkata dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan demi mencari rezeki sebelum namanya dikenali ramai dalam industri hiburan.
Malah, dia pernah bekerja sebagai kerani sementara menunggu keputusan pusingan akhir pertandingan Dewi Remaja selain mengedarkan risalah di tepi jalan di bawah cuaca panas.
“Saya pernah jadi kerani tau sementara tunggu pusingan akhir Dewi Remaja. Saya pernah beri ‘flyers’ Maxis tepi jalan tengah panas.
“Siap ditolak hari-hari, kesian. Tapi pengalaman itu sangat berharga. Allah Maha Mengatur. Alhamdulillah, untuk sekarang ini,” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut dibuat selepas Syatilla memaklumkan dia kini turut bergelar ejen pemasaran, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Menerusi luahan itu, Syatilla berharap orang ramai tidak melihat kejayaan seseorang hanya berdasarkan apa yang dimiliki hari ini, sebaliknya memahami setiap individu mempunyai perjalanan dan cabaran tersendiri sebelum mencapai kejayaan.



