Ubai Buat Servis Grab Nak Hilangkan Rasa Bosan

Pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 28, mendedahkan dia gemar melakukan kerja e-hailing pada waktu lapang sebagai cara menghilangkan bosan selain berpeluang berinteraksi dengan orang ramai.
Menurut pemilik nama sebenarnya Ubaidillah Mohd. Zulkefli, pekerjaan tersebut bukan dilakukan atas faktor kewangan, sebaliknya sekadar aktiviti santai apabila terlalu lama berada di pejabat menguruskan kerja.
“Saya rasa ramai orang yang kurang faham kerja ‘freelance’ hingga mereka sering bertanya saya kerja apa kerana sekejap beli itu dan beli ini. Macam hari itu, saya ada bawa Grab.
“Kalau bosan, saya memang akan bawa Grab. Lagipun, saya baru beli motosikal baharu tapi nak pergi menunggang jauh tak boleh. Jadi, saya cakaplah pada Shila nak bawa Grab.
“Kadang-kadang bila kerja sendiri ini, kita menghadap komputer di pejabat sampai rasa bosan. Jadi esoknya, saya ambil cuti dan bawa e-hailing sebab nak jumpa dan berbual dengan orang,” katanya.
Mengulas reaksi isterinya yang juga penyanyi Shila Amzah, Ubai berkata, penyanyi itu sentiasa memberi sokongan terhadap apa sahaja pekerjaan yang ingin dilakukannya selagi ia membawa kebaikan.
“Shila cakap asalkan saya gembira, dia pun gembira. Mungkin dalam stigma masyarakat, kalau bergelar artis atau orang yang ada nama di media sosial mahupun televisyen, kita kena sentiasa menjaga ‘standard’.
“Macam saya pula dibesarkan dalam keluarga sederhana, asalkan pekerjaan itu halal, tidak buat salah dan tidak kacau orang, saya okay sahaja,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ubai turut mengulas dakwaan segelintir netizen yang menuduh dirinya hanya menumpang populariti dan rezeki isterinya.
Jelasnya, tanggapan tersebut bukan perkara baharu kerana isu sama sudah mula diperkatakan sejak sebelum mereka mendirikan rumah tangga lagi.
“Sebenarnya isu itu sudah timbul sebelum kami berkahwin lagi. Orang tanya saya kerja apa?
“Sebenarnya, saya bermula dalam bidang digital. Selepas tempoh tiga empat tahun, saya buka syarikat sendiri.
“Kini, saya sudah ada produksi sendiri yang menguruskan projek digital terutama membabitkan kempen daripada pelbagai jenama,” katanya.



