AIM25 Perkenal Dua Kategori Baharu, Lagu Borneo & Lagu Perayaan Terbaik

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal berlangsung pada 26 September depan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, sekali gus menjadi edisi pertama dianjurkan di negeri itu sempena sambutan Jubli Perak anugerah berprestij berkenaan.
Penganjuran AIM25 mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang diuruskan MyCreative Ventures, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP), selain TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur, manakala CATS FM bertindak sebagai Rakan Radio Rasmi.
Sempena ulang tahun ke-25, AIM memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik bagi mengiktiraf karya yang mengetengahkan budaya serta identiti Sabah dan Sarawak, selain Lagu Perayaan Terbaik yang meraikan lagu berkaitan pelbagai perayaan di Malaysia.
Turut diumumkan, Kementerian Komunikasi meningkatkan peruntukan DKK kepada RM950,000 berbanding RM700,000 pada AIM24. Sebanyak 15 kategori akan menerima geran RM50,000 setiap satu, manakala pemenang Album Terbaik Tahun Ini bakal menerima geran RM200,000.
Dalam masa sama, MTCP turut menyalurkan geran RM1 juta bagi menyokong penganjuran AIM25 di Kuching sebagai usaha memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab seni, budaya dan industri kreatif negara.
Pengerusi RIM merangkap AIM, Rosmin Hashim berkata, edisi Jubli Perak itu bukan sahaja meraikan perjalanan AIM selama lebih tiga dekad, malah menjadi simbol penghargaan kepada bakat dan kreativiti penggiat muzik tempatan.
Katanya, kerjasama erat dengan kerajaan serta rakan strategik akan memastikan AIM25 tampil lebih bermakna dan mampu terus mengangkat industri muzik Malaysia.
Bagi AIM25, penyertaan dibuka kepada lagu dan album dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025. Tempoh penamaan dibuka bermula 16 Julai hingga 6 Ogos 2026.
Sebanyak 33 kategori dipertandingkan yang merangkumi kategori utama seperti Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki, Wanita, Kumpulan dan Duo/Kolaborasi Terbaik, Lagu Pop, Rock, Rap/Hip Hop, Pop Elektronik/Dance, Lagu Tempatan Bahasa Inggeris, Cina dan India, Lagu Melayu oleh Artis Antarabangsa, Kolaborasi Antarabangsa, Lagu Nasyid, Etnik, Perpaduan, Tradisional, Borneo, Album Terbaik Tahun Ini serta Lagu Terbaik Tahun Ini.
Turut dipertandingkan kategori pra-anugerah iaitu Lagu Perayaan Terbaik, Kulit Album Terbaik, Kejuruteraan Lagu dan Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik, Lagu Paling Banyak Distrim, Video Muzik Rasmi Paling Banyak Ditonton serta Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak di TikTok. AIM25 turut mengekalkan Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan khas.
Semua pencalonan akan dinilai panel juri profesional yang diketuai Ajai sebelum lima calon akhir diumumkan pada September depan.
Sementara itu, TVS akan menyiarkan malam kemuncak AIM25 secara langsung, selain menerbitkan program khas Hits 122 Edisi AIM25 bermula 18 Julai bagi menghangatkan lagi acara tersebut. CATS FM pula akan memainkan peranan mempromosikan perjalanan AIM25 kepada pendengar di Sarawak dan seluruh negara.



