Shila Amzah Rancang Bawa Suami & Anak Pindah China Pada Tahun 2027

Penyanyi, Shila Amzah, 36, merancang untuk berpindah ke China bersama keluarganya selewat-lewatnya pada penghujung tahun depan selepas kerjaya seninya di negara itu kembali berkembang pesat.
Menurut pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah, perancangan tersebut dibuat susulan tawaran kontrak baharu yang diterimanya, namun perjanjian itu masih dalam proses semakan oleh pihak peguam sebelum dimeterai secara rasmi.
Katanya, keputusan untuk berhijrah bukan semata-mata berkaitan kerjaya, sebaliknya bagi mengurangkan keletihan akibat kerap berulang-alik antara Malaysia dan China, selain mahu meluangkan lebih banyak masa bersama dua cahaya matanya.
“Sejak kebelakangan ini memang saya selalu berulang-alik ke China. Saya berada di sana tiga atau empat hari, kemudian pulang ke Malaysia dan hanya sempat bersama anak-anak dua atau tiga hari sebelum perlu berangkat semula.
“Ketika saya tiada, emak dan bapa tiri banyak membantu menjaga anak-anak. Walaupun saya ada pembantu, saya tetap perlukan ahli keluarga yang saya benar-benar percaya.
“Sebab itu kami merancang untuk berpindah ke sana selewat-lewatnya hujung tahun depan. Terlalu kerap berulang-alik memang memenatkan.
“Tambahan pula, saya bakal menandatangani satu lagi kontrak yang tempohnya agak panjang. Cuma buat masa ini saya belum boleh berkongsi lanjut mengenainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama.
Dalam masa sama, pelantun lagu Tinggal Kenangan itu menafikan tanggapan kononnya dia memilih untuk kembali menetap di China kerana merasakan bakatnya lebih dihargai di sana berbanding di Malaysia.
Sebaliknya, Shila menegaskan setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan peluang kerja dan rezeki yang hadir, bukannya soal memilih negara yang lebih menghargai dirinya.
“Bukan sebab peminat di sana lebih menghargai saya. Kalau betul begitu, saya takkan terus menghasilkan album Melayu di Malaysia. Peminat di sini tetap sangat penting buat saya.
“Sebenarnya saya pernah menetap di China bermula pada 2012 ketika perkahwinan pertama dan tinggal di sana hampir lapan tahun. Selepas itu saya pulang ke Malaysia sebelum pandemik COVID-19 melanda, sekali gus menjejaskan peluang kerjaya di sana.
“Jadi, ini bukan soal dihargai atau tidak. Di mana ada rezeki, di situlah saya akan bekerja. Saya akan sedaya upaya mengimbangi kerjaya di China dan Malaysia. Kalau boleh belah diri, memang sudah lama saya buat demi peminat,” kongsinya lagi



