Berita

‘Ramai Ingat Daiyan Cari Lelaki Kaya, Dia Bukan Begitu’

Ibu kepada pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha iaitu Dr. Samsiah Mohd. Nor menepis tanggapan kononnya anaknya meletakkan kekayaan sebagai syarat utama dalam memilih pasangan hidup.

Menurut Samsiah, 61, Daiyan sebenarnya seorang yang sangat sederhana dan paling tidak cerewet dalam soal memilih teman lelaki berbanding empat adik-beradiknya yang lain.

“Daiyan sebenarnya sangat mudah didekati dan paling tidak memilih antara lima beradik. Sampai kami pernah bergurau tentang pilihannya sebelum ini. Bukan menghina, tetapi ketika itu kami tidak sangka itu pilihannya.

“Saya cakap, tidak mengapalah, terpulang kepada dia. Nanti dia sendiri akan tahu apa yang kurang. Umpamanya dia seorang yang laju, tetapi memilih orang yang perlahan. Nanti lelaki itu tidak terkejar pula.

“Ramai ingat dia mencari lelaki yang kaya. Daiyan bukan begitu. Dia memang jenis yang tidak kisah. Sebab itu kami selalu bergurau kerana kadang-kadang pilihannya memang kelakar. Tetapi itu ketika dia masih bersekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, Samsiah berkata, dia sentiasa menghormati pilihan hati anaknya dan tidak pernah masuk campur, sebaliknya hanya berharap Daiyan dipertemukan dengan lelaki yang mampu memahami rentak kehidupannya.

“Carilah yang senada. Kalau dia berlari, lelaki itu boleh mengejar. Jangan pula dia berlari seorang, tetapi pasangannya masih menunggu di belakang. Itu maksud saya.

“Bukan daripada aspek materialistik, tidak. Kalau tahu ambil hatinya, sebenarnya mudah sahaja. Tetapi kalau terlalu perlahan, memang selamat tinggallah. Mungkin Daiyan memang jenis yang laju, macam saya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Samsiah mengakui dia tidak pernah memberi tekanan kepada Daiyan untuk segera mendirikan rumah tangga kerana percaya setiap orang mempunyai aturan jodoh yang telah ditetapkan.

“Lagi pun soal jodohnya, saya tidak terlalu ambil tahu. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuknya.

“Kalau belum sampai, maknanya belum tiba masa yang terbaik. Sama seperti novel saya, Anom Suraya. Selepas 34 tahun barulah ia diadaptasi menjadi drama kerana itulah waktu yang terbaik.

“Jadi kita ikut sahaja apa yang Allah tetapkan. Tidak perlu terlalu memeningkan perkara itu,” kongsinya lagi.

Related Articles

Back to top button