Berita

“Saya & Hael Tidak Bergaduh, Setiap Tahun Dia Pujuk Kembali Menyanyi”

Penyanyi, Azhar Osman, 38, mengakui keinginan untuk kembali aktif dalam dunia muzik semakin menebal selepas lebih empat tahun menyepi daripada industri hiburan.

Bekas anggota duo Azhael itu berkata, dia bukan sengaja menghilangkan diri atau meninggalkan bidang nyanyian, sebaliknya memilih untuk menunggu masa yang sesuai sebelum membuat kemunculan semula.

Menurut Azhar, sepanjang tempoh berehat daripada dunia seni, dia memberi sepenuh tumpuan kepada pengajian sebelum menceburi bidang Perubatan Nutrisi yang kini menjadi kerjaya utamanya.

“Sebenarnya selepas kami berpisah, masing-masing membawa haluan sendiri. Hael terus aktif dalam industri muzik, manakala saya pula memberi tumpuan untuk menamatkan pengajian.

“Walaupun membawa haluan berbeza, saya dan Hael tidak pernah bergaduh. Kami masih berhubung seperti biasa. Selepas kira-kira dua tahun setengah, saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah.

“Selepas itu, saya mula berjinak-jinak dalam bidang yang agak berbeza, iaitu Perubatan Nutrisi,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan untuk kembali menyanyi, Azhar mengakui dia semakin rindu untuk berkarya, namun percaya setiap perjalanan mempunyai waktu terbaiknya.

“Lama-kelamaan timbul juga keinginan untuk membuat kemunculan semula. Cuma, saya masih menunggu masa yang sesuai.

“Mungkin saya akan kembali dengan lagu baharu, tetapi saya sendiri belum pasti bagaimana perancangannya,” kongsinya lagi.

Dalam masa sama, Azhar mendedahkan Hael tidak pernah berhenti memberikan semangat dan sentiasa mengajaknya kembali aktif dalam industri muzik.

“Sebenarnya, setiap tahun dia tidak pernah jemu pujuk saya, ajak untuk kembali menyanyi. Perkara itu mungkin tidak ramai yang tahu.

“Setiap tahun dia menawarkan saya untuk menghasilkan lagu, tetapi saya tetap merasakan masanya belum tiba.

“Dalam tiga atau empat tahun kebelakangan ini memang dia menawarkan untuk menghasilkan lagu. Setiap kali dia mengajak, saya akan cakap masih belum sampai masanya,” ujarnya.

Untuk rekod, Azhael mula mencipta nama selepas menyertai Akademi Fantasia 2013 (AF2013) sebelum meraih populariti menerusi lagu Hentian Terakhir, Kosong Kosong dan Hujung Waktu.

Pada 2017, Hael mengumumkan pengundurannya daripada duo tersebut bagi memberi ruang kepada mereka berdua untuk mengembangkan kerjaya mengikut haluan masing-masing.

Related Articles

Back to top button