Berita

“Jika Allah Panggil Saya Lebih Awal, Siapa Akan Dengar Luahan & Teman Sayang Ketika Menangis” – Suami Abby Abadi

Suami kepada pelakon Abby Abadi, Faizal Zakaria berasa pilu apabila melihat isterinya terus menjadi sasaran kecaman di media sosial sehingga terpaksa memendam segala kesedihan seorang diri.

Faizal menyifatkan Abby sebagai seorang wanita yang sentiasa kuat di mata orang ramai, namun hakikatnya menyembunyikan luka dan tangisan di sebalik senyuman.

“Apabila orang menyebut nama Abby Abadi, semua mengenalinya. Dalam banyak pujian, tetap ada cacian. Tidak mengapa, kami memilih untuk memaafkan kerana mereka mungkin tidak mengenali siapa diri sayang yang sebenar dan tidak pernah melalui apa yang kami lalui.

“Sayang, saya tahu betapa remuknya hati dan perasaan sayang. Semua keluhan itu hanya dipendam. Walaupun sentiasa tersenyum, saya tahu hati sayang sebenarnya sedang menangis.

“Luka itu mungkin akan sembuh, tetapi parutnya akan kekal. Saya tidak pernah berhenti mendoakan kebahagiaan sayang sehingga ke penghujung hayat saya,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Tidak sanggup melihat insan yang dicintainya terus menanggung beban emosi, Faizal berkata dia rela memikul segala kesakitan itu sekiranya mampu mengembalikan senyuman Abby.

Menurutnya, dia tidak kisah berdepan apa sahaja asalkan isterinya dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang tanpa terus dibelenggu kesedihan.

Dalam luahan sama, Faizal turut mengakui antara perkara yang paling ditakutinya ialah sekiranya dia dijemput Ilahi terlebih dahulu kerana bimbang tiada lagi tempat buat Abby mengadu dan mencari kekuatan ketika berdepan dugaan hidup.

“Kalaulah segala beban itu boleh dipindahkan kepada saya, saya sanggup menanggung semuanya. Saya hanya mahu melihat sayang bahagia dan tidak lagi bersedih. Mungkin saya bukan insan yang hebat pada pandangan orang, tetapi saya akan sentiasa berusaha menjadi kuat demi sayang.

“Saya takut jika Allah memanggil saya lebih awal. Siapa yang akan mendengar segala luahan sayang, menemani ketika sayang menangis dan memeluk untuk menenangkan hati sayang.

“Saya berharap anak-anak, Daiyan, Dayana dan Darda akan sentiasa berada di sisi sayang, menjadi peneman dan penenang apabila saya sudah tiada nanti. Merekalah pengganti saya,” luahnya.

Faizal turut menitipkan doa agar segala urusan Abby dipermudahkan serta setiap pengorbanan isterinya dibalas dengan ganjaran terbaik.

Dia juga mengajak isterinya memulakan kehidupan baharu di tempat lain apabila tiba waktu yang sesuai, demi mencari ketenangan yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan sekarang.

“Sayang ada saya dan anak-anak. Apabila tiba masanya nanti, marilah kita berhijrah. Mungkin ada ketika tempat yang kita diami sekarang sudah tidak lagi sesuai untuk kita,” katanya.

Luahan menyentuh hati itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut hubungan Abby bersama anaknya, Marissa Dania, hasil perkahwinan terdahulu dengan Norman Hakim, yang sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

Related Articles

Back to top button