Global

Lauren Bennett Meninggal Dunia Pada Usia 37 Tahun

Dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Lauren Bennett, yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 37 tahun.

Berita sedih itu disahkan menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh bekas rakan seangkatannya dalam kumpulan G.R.L. di Instagram.

“Dengan penuh rasa dukacita, kami ingin memaklumkan pemergian insan tersayang kami, Lauren. Hati kami hancur dan kami tidak mampu menggambarkan betapa besar maknanya Lauren dalam hidup kami.

“Kami akan sentiasa menghargai kasih sayang, gelak tawa dan segala kenangan indah yang dikongsinya bersama kami,” menurut kenyataan tersebut.

Mesej berkenaan turut ditandatangani oleh tiga anggota G.R.L., Emmalyn Estrada, Natasha Slayton dan Paula van Oppen.

“Jiwa yang begitu indah telah menyentuh kehidupan ramai orang. Kehilangannya amat dirasai dan dia akan sentiasa dikenang serta disayangi. Bersemadilah dengan tenang, Lauren. Kamu akan sentiasa berada di dalam hati kami,” tambah mereka.

Sehingga kini, punca kematian Lauren masih belum didedahkan kepada umum.

Lauren memulakan perjalanan seni seawal usia 18 tahun apabila menyertai kumpulan Paradiso Girls. Kumpulan itu mencipta perhatian menerusi single Patron Tequila pada 2009 sebelum akhirnya dibubarkan.

Namanya kemudian terus melonjak di persada muzik antarabangsa apabila tampil sebagai penyanyi jemputan dalam lagu hit Party Rock Anthem nyanyian LMFAO, yang menjadi fenomena di seluruh dunia.

Selain itu, Lauren turut bekerjasama dengan penerbit dan penyanyi terkenal, will.i.am, menerusi versi remix lagu I Got It from My Mama.

Kerjaya seni Lauren mencapai satu lagi pencapaian penting apabila menyertai kumpulan G.R.L. pada 2014. Bersama kumpulan itu, beliau meraih populariti menerusi lagu Ugly Heartserta Wild Wild Love, kolaborasi bersama Pitbull.

Namun, perjalanan G.R.L. tidak bertahan lama apabila kumpulan tersebut dibubarkan pada tahun yang sama selepas tragedi pemergian salah seorang anggotanya, Simone Battle, pada usia 25 tahun.

Pemergian Lauren Bennett meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan serta peminat di seluruh dunia yang akan terus mengenang sumbangannya dalam industri muzik antarabangsa.

Related Articles

Back to top button