Lagu Baharu

Kisah Terbaik Jadi Taruhan, Fazura Harap Tuah Naskhah Baharu

Selepas mencuri perhatian menerusi karya terdahulu, penyanyi dan pelakon Fazura kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan mempertaruhkan single baharu berjudul Kisah Terbaik yang sarat dengan mesej positif.

Berbeza dengan tanggapan umum bahawa lagu itu hanya berkisar mengenai cinta, Fazura berkata, Kisah Terbaik sebenarnya membawa makna lebih mendalam mengenai perjalanan hidup yang pada akhirnya mendewasakan kita.

Jelasnya, naskhah ini bukan sekadar tentang cinta tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita. 

“Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” katanya.

Single itu adalah hasil kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit, Aiman Sidek serta Reza Ramsey yang menurut Fazura berjaya menterjemahkan emosi yang ingin disampaikan dengan cukup jujur.

Katanya, sepanjang proses pembikinan naskhah itu, beliau diberi ruang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman peribadi sehingga menjadikan karya berkenaan begitu dekat dengan dirinya.

“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan. 

“Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” jelasnya.

Menurut Fazura, susunan muzik Kisah Terbaik yang berkonsepkan sinematik turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan perjalanan emosi yang ingin disampaikan menerusi lirik.

Beliau merasakan lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah- bermula dengan permainan jiwa yang lembut dan rapuh kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan. 

Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Baginya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan jiwanya.

Ibu kepada sorang cahaya mata itu turut mengakui pengalaman jatuh bangun yang pernah dilaluinya membuatkan beliau lebih menghargai mesej yang terkandung dalam lagu berkenaan.

“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun dan begitu juga dengan saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan. 

“Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan walaupun sukar tetap mempunyai makna yang indah,” ujarnya.

Mengharapkan lagu itu dapat memberi semangat kepada pendengar, Fazura berkata kejayaan sebenar buatnya adalah apabila Kisah Terbaik mampu menyentuh hati mereka yang sedang berdepan ujian hidup.

“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap Kisah Terbaik dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu sukar. 

“Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya yang mengharapkan lagu ini mendapat sambutan baik daripada peminat.

Related Articles

Back to top button