“Saya Tidak Menyesal Berkahwin”

Penyanyi, Zizi Kirana, 41, mengakui tidak pernah menyesali keputusan mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, pelakon Yusuf Bahrin meskipun perkahwinan yang dibina akhirnya menemui noktah.
Menurut Zizi, setiap yang berlaku dalam kehidupannya mempunyai hikmah tersendiri dan menganggap episod perkahwinan serta perpisahan itu sebagai satu ujian daripada Allah SWT untuk mengajarnya erti reda dan melepaskan sesuatu yang paling disayangi.
“Saya tidak menyesal berkahwin kerana saya rasa itu adalah ujian yang Allah beri kepada saya untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang.
“Ia juga sebenarnya mengajar saya bahawa semua benda di dunia ini bukanlah milik kita. Ketika itu saya berfikir, benda yang paling kita sayang itulah yang Allah akan uji.
“Jadi bila Allah uji, saya kena belajar untuk melepaskan. Itu sahaja dalam fikiran saya ketika itu. Ini semua bukan saya punya. Semua Allah punya, tiada yang kekal,” katanya dalam sebuah podcast.
Dalam masa sama, Zizi mendedahkan dia tidak membuat keputusan untuk berpisah secara terburu-buru, sebaliknya mengambil masa lebih setahun bagi menyelamatkan rumah tangga yang dibina.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut dia berusaha mendapatkan pandangan dan nasihat daripada individu yang mempunyai ilmu serta pengalaman sebelum membuat keputusan terbaik.
“Sebenarnya saya ambil masa lebih setahun. Macam-macam rujukan saya cari. Saya berjumpa dengan orang yang berilmu dan berpengalaman. Melalui perbincangan terakhir, pihak sana pun telah bersetuju.
“Kesusahan yang saya alami sebelum ini, Allah sebenarnya dah bagi jawapan. Cuma saya sahaja yang belum terbuka hati dan masih menidakkan perkara itu,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Zizi tidak memperincikan punca perpisahan mereka dan memilih untuk menghormati privasi kedua-dua belah pihak.
Untuk rekod, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 sebelum disahkan bercerai pada 2 April lalu.



