“Bau Rumah Arwah Sharifah Aini Saya Masih Ingat Sampai Sekarang”

Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir, 39, mengakui sehingga hari ini masih sukar melupakan jasa serta keperibadian Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang disifatkannya sebagai seorang insan seni luar biasa dan gemar membantu orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Pemilik nama sebenar Nur Shiha Mohd. Zikir, berkata, hubungan rapat yang terjalin dengan Allahyarham sejak menyertai program Mentor 5 pada 2011 membuatkan dia berpeluang menyaksikan sendiri sisi peribadi penyanyi legenda itu yang tidak pernah ditonjolkan kepada umum.
Menurut Shiha, Allahyarham yang mesra dipanggil Ummi bukan sahaja banyak memberi tunjuk ajar dalam bidang seni, malah sering mengingatkannya supaya sentiasa melakukan kebaikan dengan ikhlas.
“Ummi ini, bila sebut sahaja nama Sharifah Aini, bau rumah arwah pun saya masih ingat sampai sekarang. Hubungan kami memang sangat rapat sehingga ke akhir hayatnya.
“Banyak perkara yang Ummi buat saya masih ingat. Dia memang suka membantu orang, tetapi bukan jenis yang suka menghebahkan setiap kebaikan yang dilakukan.
“Apa yang Ummi selalu pesan kepada saya ialah, ‘tak apa Shiha, ini untuk kehidupan kita di akhirat nanti’,” katanya.
Shiha berkata, pesanan itu benar-benar memberi makna kepadanya apabila melihat sendiri kehadiran ramai pelajar tahfiz pada hari pengebumian Allahyarham.
Menurutnya, ketika itu dia baru menyedari betapa besarnya sumbangan Sharifah Aini kepada pusat-pusat tahfiz dan golongan yang memerlukan sepanjang hayatnya.
“Semuanya terbukti apabila hari Ummi meninggal dunia. Saya lihat begitu ramai anak-anak tahfiz datang menunaikan solat jenazah. Ketika itulah saya sedar begitu banyak kebaikan yang arwah lakukan secara diam-diam,” kongsinya.
Pada Ahad genap 12 tahun pemergian penyanyi Mawar Putih Untuk Mama itu yang menghembuskan nafas terakhir pada 5 Julai 2014 akibat fibrosis paru-paru ketika berusia 61 tahun.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dan sehingga kini legasinya terus dikenang sebagai antara penyanyi paling berpengaruh dalam sejarah industri muzik tanah air.
Mengimbau saat-saat akhir bersama mentornya itu, Shiha berkata, Allahyarham tetap berusaha menampilkan wajah ceria walaupun sedang bertarung dengan penyakit.
Katanya, Sharifah Aini tidak pernah mahu orang sekeliling melihat dirinya dalam keadaan lemah.
“Terlalu banyak perkara baik mengenai arwah yang saya simpan dalam ingatan. Waktu keadaan Ummi sakit memang sedih untuk dilihat, tetapi dia tetap manis dan cantik.
“Ketika dirawat di hospital pun dia tetap cuba menunjukkan keadaannya baik-baik sahaja. Malam itu saya masih sempat meluangkan masa bersamanya dan keesokan paginya saya dimaklumkan Ummi sudah tiada.
“Memang saya terkejut sebab malam sebelumnya saya masih bersama arwah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni, Allahyarham Sharifah Aini bukan sahaja mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon tersohor, malah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk dianugerahkan gelaran Biduanita Negara pada 2006.
Sepanjang kariernya, beliau turut merakamkan kira-kira 700 buah lagu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara legenda terbesar dalam sejarah muzik Malaysia.



