Bisnes

7-Eleven Saman Nike, Dakwa Kasut Air Max 95 Menyerupai Logo Kedai Serbaneka

Rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven memfailkan saman terhadap Nike susulan sepasang kasut Air Max 95 yang bakal dilancarkan.

7-Eleven mendakwa Nike telah meniru reka bentuk jalur ikonik berwarna oren, hijau dan merah yang menjadi identiti jenama mereka.

Menurut Reuters, saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan di Dallas, Texas pada 2 Julai lalu.

Kasut berkenaan bakal dilancarkan pada 11 Julai depan.

Tarikh tersebut sinonim dengan sambutan 7-Eleven Day, iaitu acara tahunan di mana cawangan yang mengambil bahagian menawarkan minuman Slurpee secara percuma kepada pelanggan.

Dalam samannya, 7-Eleven mendakwa kasut Nike Air Max 95 itu mempunyai reka bentuk jalur tiga warna yang mengelirukan kerana terlalu mirip dengan identiti visual syarikat tersebut.

Menurut syarikat itu lagi, pengguna mungkin menyangka kasut berkenaan ditaja atau mendapat pengiktirafan rasmi daripada 7-Eleven.

7-Eleven menegaskan tiada sebarang kerjasama antara kedua-dua syarikat.

Malah, syarikat itu turut mendakwa Nike sengaja mereka bentuk kasut tersebut bagi membangkitkan imej 7-Eleven serta mengambil kesempatan terhadap pengaruh dan populariti jenamanya.

Saman itu turut merujuk kepada beberapa laporan media yang menyifatkan kasut berkenaan sebagai mendapat inspirasi daripada 7-Eleven.

7-Eleven berkata gabungan warna oren, hijau dan merah itu telah digunakan selama beberapa dekad pada papan tanda premis, bahan pengiklanan, barangan cenderamata, kasut serta pelbagai produk lain.

Syarikat itu juga memaklumkan bahawa ia memiliki beberapa pendaftaran cap dagangan bagi reka bentuk tersebut.

Menurut dokumen saman, 7-Eleven berkata pihaknya telah beberapa kali cuba menyelesaikan isu itu sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa Nike memberi bayangan bahawa ia akan meneruskan promosi kasut tersebut serta pelancarannya seperti yang dijadualkan pada 11 Julai.

Dalam satu kenyataan, 7-Eleven berkata pihaknya perlu bertindak “dengan pantas dan tegas” susulan penggunaan jenamanya tanpa kebenaran serta pelancaran kasut itu yang dijadualkan pada hari sambutan 7-Eleven Day yang turut dianggap sebagai “hari lahir” syarikat tersebut.

7-Eleven kini memohon perintah mahkamah bagi menghalang Nike daripada menjual kasut berkenaan.

Selain itu, syarikat tersebut turut menuntut supaya semua produk yang telah diedarkan ditarik balik daripada pasaran, di samping menuntut ganti rugi kewangan serta keuntungan yang diperoleh Nike daripada jualan kasut itu.

Setakat ini, Nike belum memberikan sebarang maklum balas kepada Reuters berhubung permintaan untuk mendapatkan komen.

Related Articles

Back to top button