Trending

“Selamat Hari Lahir Cik Uqasha, Semoga Dipanjangkan Umur”

Pelakon, Kamal Adli menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran bekas isterinya, aktres Uqasha Senrose yang ke-33.

Kamal mendoakan agar ibu kepada anaknya itu terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah walaupun hubungan mereka sebagai suami isteri telah berakhir sejak Januari lalu.

“Selamat hari lahir untuk Cik Uqasha Senrose atau ibu Hawra Uqaira. Semoga dipanjangkan umur, dipermudahkan dan dikayakan rezeki.

“Semoga diberi kebahagiaan selalu oleh Allah SWT,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Dalam hantaran sama, Kamal turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama menitipkan doa dan ucapan buat Uqasha.

“Semoga menjadi ibu yang terbaik. Rakyat tolong aminkan dan berilah ucapan sekali kalau sudi,” katanya lagi.

Ruangan komen pula dibanjiri pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji sikap matang Kamal kerana masih mengekalkan hubungan baik demi anak mereka.

Malah, ada yang menyifatkan pelakon itu sebagai seorang bekas suami yang budiman kerana tidak pernah gagal menunjukkan rasa hormat terhadap wanita yang melahirkan zuriatnya.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu selepas dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman dalam rumah tangga.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

Related Articles

Back to top button