Zarif Ghazzi Cedera Di Muka, Tak Sengaja Ditumbuk Pelakon Extra

Pelakon, Zarif Ghazzi, 21, berdepan detik mencemaskan apabila mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka ketika menjalani penggambaran drama bersiri Cela terbitan Viu, Sabtu lalu.
Menurut Zarif, insiden itu berlaku ketika dia sedang menjayakan satu babak aksi pada waktu malam apabila tumbukan daripada seorang pelakon tambahan tersasar lalu terkena pada wajahnya sehingga menyebabkan berlaku pendarahan kecil.
Katanya, sebaik sahaja kejadian berlaku, pihak produksi bertindak pantas dengan mencadangkan agar penggambaran dihentikan demi memastikan keadaannya benar-benar stabil.
“Ada satu pergerakan yang tersasar sehingga terkena sedikit pada muka saya. Sejurus kejadian berlaku, semua pihak termasuk pengarah dan penerbit terus meminta supaya penggambaran dihentikan dan disambung semula keesokan hari atau selepas keadaan saya benar-benar pulih.
“Namun sebagai pelakon, saya memang dahagakan rasa sebenar untuk disampaikan kepada penonton. Saya beritahu pengarah, ‘Bang, teruskan saja. Dah alang-alang kita habiskan babak ini.’
“Alhamdulillah, selepas saya tengok semula hasil babak tersebut, saya rasa sangat berbaloi kerana emosi dan rasa yang dipaparkan memang lebih realistik,” katanya.
Mengulas lanjut, Zarif berkata kecederaan yang dialaminya tidak serius dan hanya membabitkan luka kecil pada bahagian pipi walaupun berlaku sedikit pendarahan.
“Sebenarnya luka itu kecil sahaja. Memang tidak sepatutnya terkena, tetapi berlaku sedikit pendarahan. Saya kemudian mendapatkan pemeriksaan doktor dan disahkan tiada kecederaan serius, cuma dinasihatkan supaya berehat seketika.
“Selepas berbincang dengan pihak produksi, saya diberikan cuti selama tiga hari. Alhamdulillah, hari ini saya sudah kembali ke lokasi untuk menyambung penggambaran seperti biasa,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zarif menyifatkan insiden tersebut sebagai peringatan buat dirinya supaya sentiasa berwaspada ketika menjayakan adegan aksi walaupun semua prosedur keselamatan telah dipatuhi.
“Babak itu sebenarnya bukan tumbuk betul. Ia sekadar pergerakan yang menyerupai tumbukan dan memang tidak sepatutnya mengenai muka saya. Kami juga tidak menjalani aksi lagak ngeri yang terlalu rumit.
“Produksi memang sangat mementingkan aspek keselamatan. Tetapi sehebat mana kita merancang sekalipun, kalau sudah ditakdirkan sesuatu berlaku pada hari itu, ia tetap akan berlaku.
“Saya anggap ini sebagai satu pengajaran supaya jangan terlalu yakin ketika melakukan babak aksi. Keselamatan tetap perlu menjadi keutamaan.
“Saya juga tidak menyalahkan sesiapa kerana ini adalah kemalangan yang tidak dijangka. Sama seperti memandu kereta, walaupun kita sudah memakai tali pinggang keledar dan mematuhi semua langkah keselamatan, jika ditakdirkan berlaku kemalangan, tetap boleh terjadi,” katanya.



