Berita

Menang Tanpa Bertanding, Afdlin Shauki Kekal Sebagai Pengerusi FDAM

Artis versatil, Datuk Afdlin Shauki terus diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) apabila berjaya mengekalkan jawatan Pengerusi bagi penggal 2026-2027 selepas menang tanpa bertanding.

Keputusan itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FDAM yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada Selasa.

Pemilihan tanpa saingan itu sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan ahli-ahli FDAM terhadap kepimpinan Afdlin dalam memperjuangkan kebajikan serta kepentingan pengarah filem tempatan.

AGM yang dipengerusikan Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli turut menyaksikan pembentukan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026-2027.

Jawatan Timbalan Pengerusi kini disandang Faizal Ariff, manakala Saiful Azmi Jamsari dilantik sebagai Ketua Sekretariat dengan dibantu Amelia Nasser sebagai Penolong Ketua Sekretariat.

Bagi portfolio kewangan pula, Don Hoe diberi tanggungjawab sebagai Bendahari, manakala Yuwaji menggalas tugas sebagai Timbalan Bendahari.

Turut menganggotai Ahli Majlis Kerja FDAM ialah Terry Chan, Ramdan Che Hassan, Eoon Shuhaini, Eyra Rahman dan Opie Zami.

Mengulas mandat yang diterimanya, Afdlin menyifatkan kepercayaan itu sebagai satu tanggungjawab besar untuk memastikan FDAM terus menjadi platform utama yang memperjuangkan suara pengarah filem di negara ini.

Menurutnya, antara keutamaan bagi penggal baharu adalah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan pengarah tanpa mengira latar belakang, genre mahupun pengalaman.

Afdlin juga berhasrat memperluaskan penyertaan pengarah daripada pelbagai kaum, khususnya masyarakat Cina dan India, agar FDAM lebih mencerminkan landskap sebenar industri perfileman Malaysia.

“Sudah tiba masanya kita melihat karya bukan hanya sebagai produk untuk tayangan pertama semata-mata, tetapi sebagai aset intelektual yang mempunyai nilai ekonomi jangka panjang melalui pelbagai platform tayangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Related Articles

Back to top button