Berita

Empat Kanak-Kanak Jadikan Ferrari Sebagai Gelongsor, Pemilik Tuntut Ganti Rugi

Sebuah kereta mewah jenis Ferrari bernilai 3.6 juta yuan (RM2.1 juta) mengalami pelbagai kesan calar dan kerosakan selepas empat kanak-kanak dirakam kamera litar tertutup (CCTV) menjadikannya sebagai ‘gelongsor’ di Kunming, China.

Menurut Sin Chew Daily News, kanak-kanak tersebut memanjat bumbung dan bonet kereta ketika tiada orang dewasa memantau mereka.

Rakaman CCTV menunjukkan ada yang menggelongsor turun dari bonet kereta, manakala yang lain berulang kali memijak bumbung Ferrari itu untuk bermain.

Pemilik Ferrari berkenaan dilaporkan berada di luar bandar atas urusan kerja ketika insiden itu berlaku.

Kereta tersebut diletakkan di lokasi parkir seperti biasa, dan dia hanya menyedari kerosakan selepas pulang ke rumah.

Selepas memeriksa kenderaannya dan mendapati terdapat kesan calar serta kerosakan di beberapa bahagian, dia membuat laporan polis.

Memandangkan kos mengecat semula dan membaiki alat ganti Ferrari adalah tinggi, pemilik itu kini menuntut pampasan daripada ibu bapa kanak-kanak terbabit berdasarkan kos sebenar pembaikan.

Menurut Sin Chew Daily, polis tempatan telah mengadakan dua sesi rundingan antara kedua-dua pihak, namun masih gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah pampasan.

Pada mulanya, ibu bapa kanak-kanak itu hanya menawarkan pampasan beberapa ratus yuan sebelum menaikkannya kepada 5,000 yuan (RM2,900).

Namun, jumlah itu masih jauh lebih rendah berbanding anggaran kos pembaikan profesional yang dianggarkan sekitar 29,000 yuan (RM17,000).

Pemilik Ferrari itu menegaskan dia bukan sengaja mahu menuntut pampasan yang berlebihan, sebaliknya hanya mahu keretanya dipulihkan kepada keadaan asal melalui penilaian dan pembaikan rasmi.

Dia turut berkata, walaupun kanak-kanak terbabit masih kecil, ibu bapa tetap bertanggungjawab untuk mengawasi dan mendidik mereka supaya sikap suka bermain tidak menyebabkan kerosakan terhadap harta benda orang lain atau membahayakan diri sendiri ketika memanjat kenderaan.

Insiden itu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial selepas rakaman CCTV menjadi tular.

Ada netizen berpendapat kejadian tersebut kelihatan keterlaluan, manakala ramai yang menegaskan ibu bapa tidak sepatutnya menggunakan alasan ‘mereka masih kecil dan belum tahu apa-apa’ untuk mengelakkan tanggungjawab.

Sebaliknya, mereka berpendapat isu kerugian kewangan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa perlu ditangani dengan sewajarnya.

Related Articles

Back to top button