Berita

Eda Ezrin Tutup Buku Lama

Penyanyi, Eda Ezrin, 31, enggan lagi mempedulikan komen negatif segelintir netizen yang masih membangkitkan episod hitam dalam hidupnya selepas dibebaskan daripada Penjara Pusat Narathiwat, Thailand.

Menurut pemilik nama sebenar Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, dia kini memilih untuk menjalani kehidupan dengan lebih tenang tanpa membiarkan pandangan orang lain mempengaruhi emosinya.

Katanya, fokus utamanya ketika ini adalah untuk memberi perhatian kepada keluarga serta meneruskan kerjaya seni yang kembali berkembang.

“Alhamdulillah, sekarang saya berada dalam fasa kehidupan yang lebih tenang. Buat masa ini, saya tak ambil peduli apa sahaja komen orang. Saya buat tak tahu sahaja.

“Saya cuma mahu fokus kepada keluarga dan kerjaya. Malah, saya memang tidak membaca komen netizen,” katanya.

Pelantun lagu Bea Sobar Bea dan Adek Saye Abe Sore itu turut meluahkan rasa syukur apabila rezekinya dalam dunia hiburan masih berterusan meskipun berdepan pelbagai ujian sebelum ini.

Selain aktif memenuhi undangan persembahan, Eda berkata dia kini turut menjana pendapatan menerusi penghasilan kandungan media sosial dengan membuat ulasan produk dan makanan.

“Saya juga aktif membuat ulasan produk dan makanan. Bukan hanya tertumpu kepada nyanyian sahaja. Alhamdulillah, rezeki saya masih tidak putus,” kongsinya.

Terdahulu, pada 2 November 2024, media melaporkan seorang penyanyi wanita popular dari Kelantan antara enam individu yang ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba serta penggunaan dadah.

Bagaimanapun, Eda dibebaskan pada 6 Ogos tahun lalu selepas lebih sembilan bulan ditahan di Penjara Pusat Narathiwat.

Related Articles

Back to top button