Pesawat Lewat Berlepas Sebab Tunggu CORTIS? Agensi Beri Kenyataan

Agensi kumpulan K-Pop CORTIS mengeluarkan permohonan maaf susulan kelewatan sebuah penerbangan dari Paris ke Seoul.
Kelmarin, Big Hit Music memohon maaf kepada penumpang yang terjejas.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada semua penumpang yang mengalami kesulitan ketika menaiki penerbangan yang sama dengan CORTIS,” tulis Big Hit Music.
Kontroversi itu bermula pada 26 Jun lalu apabila sebuah penerbangan dari Paris, Perancis ke Incheon, Korea Selatan berlepas lebih lewat daripada jadual asal.
Laporan sebelum ini mendakwa kelewatan itu berpunca daripada seorang selebriti yang lewat menaiki pesawat, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai kumpulan CORTIS.
Menurut agensi, kumpulan itu baru selesai menghadiri Paris Fashion Week dan sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang apabila mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat satu kemalangan, sekali gus menyebabkan mereka tiba lewat.
Bagaimanapun, pihak agensi menafikan beberapa dakwaan lain yang tular di media sosial.
Antaranya ialah dakwaan bahawa ahli CORTIS menghalang pergerakan penumpang lain dan menukar pakaian di laluan jambatan masuk pesawat (boarding bridge) ketika berlepas dari Jepun sebelum ini.
Agensi menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Selain itu, tuduhan bahawa CORTIS sering lewat menaiki pesawat dalam beberapa penerbangan terdahulu turut dinafikan.
Menurut agensi, ketika berlepas dari Jepun pada Mei lalu, kumpulan itu telah melengkapkan proses menaiki pesawat sebelum tempoh daftar masuk ditutup.
Dalam perkembangan lain, CORTIS kini sedang membuat persiapan untuk jelajah dunia pertama mereka sejak debut.
Jelajah itu dijadual bermula pada 18 dan 19 Julai di Inspire Arena, Incheon, Korea Selatan.



