Music

Sementara, Selamanya Jadi Taruhan, Fajar Noor Umum Temui Peminat Malaysia 

Setelah berjaya mencipta fenomena saat bertanding menerusi Indonesian Idol ke-13, penyanyi Fajar Noor akhirnya melancarkan album sulung berjudul Sementara, Selamanya selain mengumumkan bakal bertemu peminat di Malaysia dalam masa terdekat.

Pengumuman itu dibuat menerusi temu bual secara langsung di TikTok bersama stesen radio ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak, sekali gus mengubat kerinduan peminat tempatan yang setia mengikuti perjalanan seninya.

Lebih mengujakan, Fajar turut mengumumkan bakal mengadakan persembahan album secara langsung bagi mempersembahkan lagu-lagu daripada album tersebut kepada peminat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama. Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua.

“Saya sendiri sudah tidak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara live dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” katanya.

Walau bagaimanapun, butiran mengenai tarikh, lokasi dan persembahan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia.

Dalam masa sama, Sementara, Selamanya disifatkan sebagai karya paling peribadi penuh dengan emosi sepanjang perjalanan seni penyanyi itu.

Dia memilih untuk mengangkat tema kitaran sebuah percintaan, bermula daripada detik jatuh cinta, konflik, kehilangan, patah hati sehingga perasaan yang masih berbaki meskipun hubungan sudah berakhir.

Album tersebut mengetengahkan perjalanan emosi yang dekat dengan pengalaman ramai, termasuk penyesalan, rasa yang terpendam serta kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan.

Bagi merealisasikan naskhah berkenaan, Fajar bekerjasama dengan Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada moden yang menampilkan melodi ringkas tetapi menyentuh emosi.

Mengulas mengenai album sulungnya itu, Fajar mengakui karya tersebut paling dekat dengan dirinya kerana setiap lagu dihasilkan berdasarkan pengalaman dan emosi yang pernah dilaluinya.

“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. 

“Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” ujarnya.

Sebagai informasi, Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Related Articles

Back to top button